‘SPEEDY TIGERS’ TUNDUK 1-9 KEPADA ‘RED LIONS’

IPOH – Belgium selaku Juara Dunia 2018 dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 menumpaskan Malaysia dengan jaringan 9-1 di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-31 bertempat di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah pada malam tadi.
Penyerang Belgium yang juga pemain terbaik dunia tahun 2025, Tom Boon telah membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-8 diikuti oleh Thomas Crols yang meledak gol kedua tiga minit kemudian.
Malaysia terus mengatur serangan balas dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-13 menerusi gol padang Faizal Saari namun dua minit kemudian Thibeau Stockbroekx pula memastikan Belgium terus di depan 3 – 1 sebelum tamat suku pertama perlawanan.
Bersambung suku kedua permainan, ‘Red Lions’ terus menguasai perlawanan dengan gol padang Roman Duvekot pada minit ke-24 disusuli gol pukulan penalti Alexander Hendrickx selang tiga minit kemudian.
Tommy Willems menghasilkan gol keenam menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-30 menjadikan kedudukan 6 – 1.
Pesta jaringan Belgium diteruskan oleh Tom Boon yang sekali lagi menyempurnakan pukulan penalti buat Belgium pada minit ke-38 sebelum Victor Foubert menghasilkan gol padang tiga minit kemudian.
Roman Duvekot menutup pesta jaringan Belgium dengan jaringan kesembilan enam minit sebelum permainan tamat pada kedudukan 9 – 1.







