SYED HUSSIN MEREALISASIKAN IMPIAN RUMAH BARU MENJELANG 1 SYAWAL 1447 HIJRIAH

TRONG – Jelas terpancar sinar kegembiraan menjelang lebaran Aidilfitri, apabila rumah kayu yang usang bakal menyembah bumi, kini digantikan dengan rumah moden dan lebih selesa untuk didiami seluruh ahli keluarga.

 

Ketakutan serta keresahan seorang ibu tunggal bersama dua orang anaknya sejak sepuluh tahun lalu di rumah pusaka tersebut makin mereput dan menunggu masa untuk runtuh, akhirnya terpancar sinar kebahagiaan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

 

Majlis ringkas penyerahan kunci rumah telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato’ Syed Abu Hussin Hafis Syed Abdul Fasal bertempat di Kampung Sungai Bembam disini pada petang ini.

 

Syed Abu Hussin berkata, setelah laporan dibuat, pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) telah membuat penilaian dan meluluskan peruntukan bernilai RM80,000 termasuk 3 bilik tidur, 2 bilik air serta 5 unit kipas serta lampu.

 

“Rumah ini dibina pada tanggal 1 hari bulan Disember 2025, setelah surat lantikan diberikan oleh ICU kepada kontraktor dan selama tempoh 3 bulan, kontraktor telah berjaya menyiapkan bangunan ini dan ianya siap sepenuhnya.

 

” Pada hari ini cuma bekalan elektrik juga air dibekalkan secara sementara.Saya amat gembira kerana dapat melihat cahaya kegembiraan dimuka Puan Roslina dan terima kasih banyak kepada ICU yang telah memberikan peruntukan untuk membina rumah ini,” ujarnya.

 

Penerima peruntukan ICU, Roslina Arsad pula berkata, jutaan terima kasih kepada Dato’ Syed dan pihak ICU yang telah sudi membina serta memberi peruntukan untuk membina rumah baru ini.

 

“Alhamdulillah serta bersyukur kerana walaupun tidak dapat nak masuk lagi sebab bekalan api dan air belum ada, tapi saya tetap bersyukur kerana rumah ini amat bermakna menjelang Syawal ini.

 

” Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak ICU , NGO Gabungan Redah Amal (GRA) yang telah datang bersama Perak Kini dan juga TV Al-Hijrah untuk membuat liputan berkenaan dengan rumah saya ini. Dan akhirnya, Dato’ Syed telah benar-benar merealisasikan janjinya,” katanya kepada Perak Kini.

 

Usai penyerahan, Dato’ Syed turut membuat lawatan bersama kontaktor ke Simpang, Taiping untuk melihat sendiri progres pembinaan rumah baru dan juga rumah pembaikan semula yang telah diluluskan oleh pihak ICU.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *