TUTUP SEKOLAH TAK JEJAS PEMBELAJARAN

BAGAN SERAI– “Penutupan 91 buah sekolah di daerah Kerian yang bermula esok dijangka tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran”.
Demikian ulasan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Mukim Parit Buntar, Kerian, selama 14 hari bermula esok.
Menurutnya proses pengajaran dan pembelajaran khususnya yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan dilaksanakan secara dalam talian seperti yang dibuat diawal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
” Penutupan ini ( 91 buah sekolahdi daerah Kerian) dijangka tidak mengganggu sistem pembelajaran sedia ada khususnya kepada yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM kerana mereka masih boleh melaksanakan pembelajaran dan kelas secara dalam talian.
” Bagi kelas-kelas yang akan menghadapi peperiksaan dan penilaian akhir tahun pula, mereka turut akan menggunapakai mekanisme tertentu seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

” Berdasarkan keadaan semasa, kita yakin guru dan pelajar yang terbabit peperiksaan ini telah membuat persiapan awal susulan dari pelbagai sudut,”katanya dalam sidang media khas di Pusat Khidmat DUN Gunong Semanggol, disini hari ini.
Menurutnya lagi kerajaan negeri meminta orang ramai khususnya ibu bapa supaya tidak panik dan tidak tergesa-gesa dan kemudian sama-sama menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Semalam, beliau mengumumkan sebanyak 91 sekolah di daerah Kerian ditutup mulai 7 hingga 20 November depan berikutan risiko penularan wabak Covid-19 yang tinggi.
Penutupan berkenaan melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Kesihatan, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian.
