AZMIN, SUCIKAN DIRI SENDIRI DAHULU SEBELUM BERCAKAP SOAL KEPEMIMPINAN – MUHAMMAD FADHLI

IPOH – Mantan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail pada hari ini, menempelak kenyataan Setiausaha Agung Bersatu Malaysia, Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kononnya “ahli yang dipecat telah dibersihkan” hanyalah naratif dangkal yang cuba memanipulasi persepsi politik.

 

Hakikatnya, mereka yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia bukanlah ‘pekak’ dan jika benar mahu bercakap soal ‘pembersihan’, maka sucikan dahulu segala persoalan yang membayangi dirinya sendiri.

 

Fadhli menyatakan, “Isu video tidak bermoral yang pernah dikaitkan dengannya di Sandakan masih segar dalam ingatan rakyat dan bagaimana rakyat mahu diyakinkan dengan kepimpinan sebegini jika persoalan integriti asas pun gagal dijawab dengan tuntas?.

 

” Dakwaan bahawa parti kononnya ‘suci’ daripada mana-mana kelompok hanyalah propaganda murahan yang tidak mencerminkan realiti, integriti serta moral,” ujarnya.

 

Beliau turut menambah, “Saya mencabar Azmin untuk menjawab secara terbuka segala isu yang pernah dikaitkan terhadapnya dan jika yakin tidak bersalah, gunakan saluran undang-undang daripada budaya menafikan sambil menyerang pihak lain”, katanya.

 

Lebih membimbangkan, serangan berterusan terhadap Mantan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dilihat tidak berkesudahan dan tidak membantu mengukuhkan parti malah jika dibandingkan secara objektif, terdapat perbezaan ketara dari sudut akhlak dan gaya kepimpinan diantara beliau dan Azmin.

 

Politik seharusnya dibina atas kekuatan nilai, bukan dendam serta percaturan sempit dan parti tidak boleh menjadi tempat ‘pemutihan imej politik’ tanpa mengambil kira persepsi rakyat di akar umbi.

 

Hakikatnya, Bersatu semakin jauh daripada semangat asal “Bersatu, Beramanah, Bermaruah” apabila kepimpinan semasa gagal mencerminkan matlamat penubuhannya.

 

Rakyat kini menuntut kepimpinan yang bersih, berakhlak, berprinsip dan bebas daripada sebarang persepsi negatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *