Ride Amal Pengkalan Hulu hulur sumbangan kepada Pondok Pak Teh

Oleh Rosdalilah Zahari
PENGKALAN HULU – Kira-kira 40 penunggang motosikal berkuasa tinggi turun padang pada program Ride Amal Pengkalan Hulu bagi menjayakan misi bantuan bencana ribut Madrasah Addiniah Al- Latifiah atau lebih dikenali Pondok Pak Teh di sini, pada Ahad.

Sebanyak enam kelab motosikal di sekitar negeri ini terdiri daripada Perak Bikerz, BMW Motorrad Ipoh Community, Baddad 12 MG Malaysia, E-Tiraf Bikers, Group Harley Ipoh dan Kampar Bikers Club terbabit dalam misi bantuan berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin antara yang turut bersama-sama meluangkan masa menunggang motosikal berkuasa tinggi miliknya untuk menyertai program itu.

Beliau berkata, misi bantuan tersebut adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan beberapa kelab motosikal sekitar Perak malah ada juga penunggang yang datang dari Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, kumpulan superbike kita dapat membuat sedikit collection (kumpul sumbangan) dan datang ke sini (Pondok Pak Teh) untuk melihat keadaan kawasan tersebut.

“Kita berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu mendirikan semula pondok dan memperbaiki segala kerosakan,” katanya ketika ditemui Perak Kini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusop berkata pihaknya juga akan cuba memberikan bantuan yang diperlukan pondok terbabit.

“Setakat ini, InsyaALLAH sama ada kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) akan melihat mana yang patut kita bantu,” jelasnya.

Wakil penunggang motosikal berkuasa tinggi, Rohizan Omar yang juga ahli BMW Motorrad Ipoh Community berkata, sebanyak RM17,150 berjaya dikumpul dalam tempoh seminggu untuk disumbangkan kepada Pondok Pak Teh.

“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu membaik pulih kerosakan akibat bencana yang menimpa pada minggu lalu,” ujarnya.

Mudir pondok pengajian agama itu, Ishak Shairazi Abd Latif mengucapkan terima kasih kepada semua pihak  yang berbesar hati melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mereka pada hari ini.

Katanya, terdapat 100 pondok dengan 200 pelajar dari seluruh Malaysia berusia di bawah 40 tahun menimba ilmu di pondok berusia lebih 50 tahun itu.

“Ketika berlakunya musibah pokok tumbang pada 29 September lalu lebih kurang jam 5.40 pagi, ramai pelajar tidak berada di pondok kerana pulang ke rumah masing-masing akibat Covid-19. Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa akibat kejadian itu.

Menurutnya, selepas berlaku musibah itu dia mendapat panggilan daripada Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin yang bertanyakan sama ada mereka memerlukan apa-apa bantuan atau sumbangan.

“Alhamdulillah dan terima kasih atas sumbangan diberikan pada hari ini yang dapat membantu menampung keperluan dan pengurusan pondok,” katanya.

Sementara itu, Pengurus The Bojen Car Wash and Spa Mohd Salorwadi Mohd Nor yang turut menyertai program amal tersebut berkata, dia akan terus bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin bersama-sama menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Alhamdulillah, kita telah menyelesaikan program amal bersama kelab motosikal berkuasa tinggi dan Bojen Car Wash serta berkolaborasi dengan Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk).

“Melalui program ini kita dapat mengumpulkan sumbangan bagi meringankan beban penghuni Pondok Pak Teh,” katanya yang turut menyumbangkan hamper kepada pondok berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *