300 guru masih belum divaksin di Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Dianggarkan seramai 300 guru di Perak masih belum menerima vaksinasi Covid-19. Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, perkara ini berlaku disebabkan ada dalam kalangan guru masih menunggu tarikh janji temu dan masih dalam proses mengisi MySejahtera.
Beliau berkata, setakat ini Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih berusaha untuk menghubungi dan mendapatkan guru yang masih belum menerima vaksin.
”Kita cuba untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan perkara itu dengan guru berkenaan,” ujarnya.
Ahmad Saidi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Negeri Perak 2021 di Space Park Hall, Angsana Mall pada Khamis.
Beliau turut menyampaikan ucapan secara maya melalui platform Zoom dan YouTube.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias dan Pengarah Pusat Aspirasi Anak (Pasak) Perak, Mohamad Misbahul Munir Masduki.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zaidi memaklumkan pihaknya belum menerima arahan untuk mengambil tindakan terhadap guru yang menolak untuk menerima vaksin.
”Kita masih menunggu arahan seterusnya daripada pihak Kementerian Pendidikan, setakat ini Menteri sudah membuat makluman (berhubung isu guru yang belum divaksin), cuma kita masih lagi belum mendengar dan menerima dalam bentuk tindakan,” jelasnya.
Untuk rekod, terdapat 37,590 guru di Perak dan setakat 30 Ogos lalu, seramai 36,238 guru telah menerima vaksin.
Sementara itu, menyentuh perkembangan terkini berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kebangsaan (PICK) Remaja beliau berkata, sehingga semalam, seramai 168,897 bersamaan 91.32 peratus daripada keseluruhan 184,956 pelajar sudah menerima vaksin bagi dos pertama di Perak.
Tambahnya, seramai 64,562 bersamaan 80.73 peratus daripada 70,408 pelajar yang mendaftar bagi pelajar berusia 16 hingga 17 tahun sudah divaksin.
”Manakala, bagi yang berusia 12 hingga 15 tahun pula, seramai 104,335 bersamaan 91.08 peratus daripada keseluruhan 114,548 pelajar sudah divaksin,” katanya.
Jelasnya, keseluruhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam termasuk di sekolah di negeri ini dijangka akan ditutup pada akhir Oktober ini.
”Perbincangan JPN dan JKN bersama Pejabat Kesihatan Daerah, kita menggariskan beberapa panduan bagi pelajar yang sudahpun mengambil vaksin di PPV awam.
”Difahamkan beberapa PPV akan mula ditutup esok jadi kita sudah membuat penetapan PPV selain daripada PPV awam untuk pelajar ini mengambil vaksin,” ujarnya.
Berikutan itu, ibu bapa diminta untuk merujuk aplikasi MySejahtera, Malaysia Vaccine Administration System (MyVAS) atau terus berhubung dengan pihak sekolah berhubung pertukaran PPV untuk pelajar mengambil vaksinasi.