Tunggu laporan lengkap isu keracunan makanan di Sekolah Izzudin Shah – Ahmad Saidi

Oleh Rosdalilah Zahari

GOPENG – Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak berhubung kejadian keracunan makanan di Sekolah Izzuddin Shah yang berlaku pada 6 April lalu.

 

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata jika hasil siasatan mendapati punca keracunan makanan itu disebabkan pengendali makanan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.

 

Beliau berharap ibu bapa dapat memberi kepercayaan kepada pihak sekolah untuk terus menjaga anak-anak mereka di sekolah.

 

“Kita faham Kerajaan Negeri sudah mengambil maklum dan cakna dengan perkara tersebut dan kita tahu kerisauan ibu dan ayah bagi anak-anak yang terlibat secara langsung (dalam kejadian) ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud menyantuni anak-anak yatim pada majlis penyerahan baju raya kepada anak-anak yatim anjuran GPMS Perak di RTC Gopeng di sini, pada Sabtu.

“Jadi, buat ibu dan ayah di luar sana, apa yang saya boleh gesa adalah jika terdapat maklumat berkaitan kebajikan anak-anak berada di asrama ataupun di sekolah harian, isu berkaitan makanan, kebersihan dan sebagainya yang memungkinkan berlaku masalah jangka panjang seperti masalah kesihatan ataupun masalah lain laporkan segera kepada pejabat saya atau Jabatan Pendidikan Negeri untuk kita terus laksanakan atau buat semakan.

 

“InsyaALLAH kita akan mencari solusi yang terbaik (bagi menyelesaikan masalah tersebut),” katanya.

 

Pada 6 April lalu, Pengetua sekolah, Ahmad Munawir Salehuddin berkata pelajar yang terbabit dalam kes keracunan makanan itu telah didiagnosis sebagai tidak kritikal menyebabkan ibu bapa tidak dimaklumkan berkenaan isu berkenaan.

 

Beliau berkata, pengurusan sekolah telah mengambil langkah sewajarnya dalam perkara itu termasuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan pemantauan daripada warden-warden.

 

Terdahulu, Ahmad Saidi menghadiri majlis penyerahan baju raya kepada anak-anak yatim anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, pada Sabtu.

 

#PerakKini #keracunanmakanan #tular

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *