Mohon selaras harga ais, kurang beban

Mazlan bersama sebahagian pengusaha, pembekal dan sub kontraktor ais yang mengadakan perjumpaan di Pusat Komuniti Parlimen Tambun, Taman Desa Tambun, di sini, malam tadi.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pengusaha, pembekal dan sub kontraktor ais di Perak mengadakan pertemuan membentuk sebuah persatuan untuk membela nasib serta menyelesaikan masalah harga ais yang didakwa tidak terkawal di negeri ini.

Berikutan itu, kira-kira 100 pengusaha, pembekal dan sub kontraktor perniagaan ais berkumpul serta mengadakan mesyuarat menubuhkan Persatuan Pengusaha, Pembekal dan Sub Kontraktor Ais Negeri Perak di Pusat Komuniti Parlimen Tambun, Taman Desa Tambun, di sini, malam tadi.

Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata persatuan itu ditubuhkan bertujuan untuk membantu mereka menyelesaikan isu harga ais yang didakwa tidak konsisten.

Katanya, banyak perkara yang perlu diberi perhatian bukan sahaja dari segi harga ais malah perkara lain seperti kos lori, minyak dan pekerja (kelindan lori) perlu juga diambil kira.

“Penubuhan persatuan ini diharap dapat membantu supaya harga ais di pasaran dapat diselaraskan tanpa membebankan mana-mana pihak yang terlibat di samping menyelesaikan isu-isu berkaitan.

“Melalui persatuan ini juga mereka boleh menetapkan syarat-syarat tertentu kepada pengilang supaya hak mereka terbela.

“Sehubungan itu, saya berharap di bawah jawatankuasa yang ditubuhkan ini mereka dapat bersatu hati bagi menyelesaikan segala masalah supaya ke yang arah lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Persatuan Pengusaha, Pembekal dan Sub Kontraktor Ais Negeri Perak, Ahmad Faizul Mohammad berharap persatuan yang ditubuhkan ini dapat menyatukan semua pihak dan dapat mengawal harga ais pasaran sekarang.

“Terdapat sub kontraktor lebih 200 biji lori di Perak dan 95 peratus pengusaha adalah dalam kalangan Melayu Bumiputera.

“Bagaimanapun, saya berharap persatuan baru ini turut disertai bangsa Cina dan India yang mempunyai masalah sama.

“Kami cuma mahu harga ais di pasaran dan harga ais yang dikeluarkan daripada kilang dapat diselaraskan supaya tiada lagi isu naik turun harga wujud pada masa hadapan,” jelasnya.

#PerakKini #persatuan #ais #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *