KOMUNITI NELAYAN SUNGAI BATU BANTAH PERLOMBONGAN BIJIH TIMAH DASAR LAUT

LUMUT – Kebimbangan terhadap impak biologi daripada aktiviti perlombongan dasar laut mengakibatkan risiko kehilangan ekosistem marin, gangguan rantaian makanan hidupan laut, pencemaran air persisiran pantai serta peningkatan pemendakan yang menyebabkan air menjadi keruh.

 

Selain itu kebimbangan aktiviti pengorekan dasar laut akan menyebabkan perubahan bentuk permukaan dasar laut secara alami serta mengakibatkan kemusnahan habitat semula jadi.

 

Pada hari ini Pengerusi Komuniti Nelayan Sungai Batu (KNSB), Faizal Mad Zain telah mengadakan perbincangan bersama nelayan terjejas bertempat di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Batu pada petang ini.

 

Faizal berkata, kawasan yang diberi kebenaran untuk aktiviti ini hanyalah 200 meter dari persisiran pantai kerana ini adalah kawasan tangkapan utama bagi nelayan persisiran pantai.

 

“Kami memohon agar pihak berkuasa mengkaji semula kelulusan yang diberikan kepada syarikat untuk menjalankan aktiviti melombong bijih timah di persisiran pantai Hutan Simpan Segari.

 

“Kami memohon kelulusan tersebut dibatalkan demi menyelamatkan sumber utama pendapatan nelayan persisiran pantai terutama kampung Sungai Batu, Tebuk Yan, Segari, Pantai Remis, Pengkalan Baharu, Ujung Pasir, Matang Kerian, Sungai Tuntung serta kampung berhampiran,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *