Keputusan ROS dapat elak perpecahan, kerosakan dalaman parti – Najib Razak

Datuk Seri Najib Tun Razak.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – “Keputusan ini bererti apa yang kita khuatiri seperti perpecahan, kerosakan dalaman parti InsyaALLAH akan dapat kita elakkan,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO berhubung penangguhan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, keputusan itu turut membantu parti dalam memberi lebih tumpuan kepada persediaan PRU15 yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.
“Kita boleh memberi tumpuan kepada persediaan PRU15 dan mengurangkan politiking sesama kita kerana sekarang ini keutamaan kita, fokus kita, adalah untuk memenangi PRU akan datang,” jelasnya
Najib berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Bersama Bossku 2022 anjuran International Strategy Institute di Pusat Konvensyen Casuarina, malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan ROS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO agar pemilihan parti tidak lebih dari enam bulan selepas PRU.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Jumaat.
Sebelum ini, UMNO meminda Perlembagaan tersebut menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada Mei lalu.
#PerakKini #UMNO #ROS #Malaysia
