Harap RUU Anti Lompat Parti dapat henti agenda ‘scheme of things’ – Najib Razak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada Khamis lalu diharap dapat menghentikan agenda ‘scheme of things’ dalam kalangan ahli politik.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) berkata pelaksanaan RUU Anti Lompat parti adalah satu tindakan wajar serta dilihat mampu menyumbang kepada kestabilan politik negara ini.

Menurutnya, dengan adanya RUU ini, diharap rasuah politik akan berkurangan dan tiada lagi agenda ‘scheme of things’ yang menawarkan jawatan dan wang ringgit kepada ahli politik untuk kepentingan pihak tertentu bagi mempengaruhi politik tanah air.

“RUU Anti Lompat Parti memang satu tindakan yang wajar dilaksanakan sebab kita mesti menghormati prinsip demokrasi kerana kita bertanding atas tiket parti.

“Kita perlu berpegang kepada mandat yang rakyat berikan kerana mereka telah memilih kita atas dasar kita calon parti berkenaan.

“Pada masa sama, RUU ini menyumbang kepada kestabilan politik negara sebab tidak akan berlaku lagi lompat melompat (parti), jatuhkan kerajaan dan kita akan pilih pihak yang akan menubuhkan kerajaan berdasarkan sokongan daripada rakyat,” katanya.

Najib (dua kanan) ketika menyaksikan penyampaian sumbangan RM50,000 oleh Shake and Bake Cafe kepada Hospital UTAR, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sumbangan Derma kepada Hospital Universiti Tun Abdul Rahman (UTAR) di Shake and Bake Cafe, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Bendahari Agung MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.

Tambahnya, sokongan 209 ahli Parlimen, termasuk katak politik yang menyokong RUU itu menandakan tindakan mereka yang melompat parti sebelum ini bertentangan dengan prinsip moral dan budaya politik sebenar.

#PerakKini #RUU #AntiLompatParti #AhliParlimen #DewanRakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *