KPM terima 69 aduan melalui portal aduan buli sejak dilancarkan

Radzi ketika sidang media selepas program Wacana Dr Radzi Jidin bersama Komuniti Orang Asli, 'Sen Oi Hebat (Orang Kita Hebat)' di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di sini, pada Khamis.

Oleh Rosdalilah Zahari

SUNGAI SIPUT – Kementerian Pendidikan (KPM) menerima 69 aduan melalui portal aduan buli sejak ia dilancarkan pada 18 Ogos lalu.

Setakat hari ini, 28 aduan diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) dengan satu kes selesai; emel (dua); tujuh panggilan pertanyaan menerusi telefon (fix line); 10 panggilan pertanyaan melalui telefon mudah alih dan 20 pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp serta dua aduan melalui aplikasi sama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata jumlah itu menunjukkan keberkesanan portal ini dalam membantu memberikan maklumat berkaitan kes buli daripada terus berleluasa di sekolah.

Menurutnya, sebelum ini terdapat ibu bapa yang kurang selesa untuk melaporkan kejadian kejadian buli membabitkan anak mereka kepada pihak sekolah kerana dibimbangi tiada tindakan akan diambil.

“Sebelum ini ada ibu bapa yang mengatakan bahawa mereka kurang selesa nak melaporkan (kes buli anak) kepada sekolah, ada yang kata takut nanti mungkin sekolah akan menyorokkan serta sekolah tak ambil tindakan yang selanjutnya.

“Maka, kita mengambil pendekatan dengan membuka portal aduan buli ini supaya ibu bapa boleh melaporkan kepada kita melalui SISPA, emel, telefon dan melalui WhatsApp.

“Apa yang paling penting sistem pelaporan ini kerahsiaan maklumat itu kita pegang kerana kita tidak mahu maklumat sulit ini terkeluar, nanti anak-anak mereka pula yang akan diberikan tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Wacana Dr Radzi Jidin bersama Komuniti Orang Asli, ‘Sen Oi Hebat (Orang Kita Hebat)’ di Pusat Pentadbiran dan Pusat Komersial Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi berkata pihak kementerian amat tegas apabila melibatkan kes buli.

“Jika kita lihat apa mesej yang hendak kita sampaikan, kita tegas apabila menyentuh isu berkaitan buli ini, kita tidak akan berkompromi.

“Kita nak menyampaikan mesej pada anak-anak di luar sana perlu sedar bahawa buli ini ada implikasi besar kepada mereka sendiri yang pembuli dan kesan kepada yang dibuli,” tegasnya.

Berhubung tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikan aduan, beliau berkata ia tidak ditetapkan.

“Tempoh masa (kes) berbeza kerana ada kes yang ‘straight forward’ dan ada kes yang memerlukan siasatan mendalam serta melibatkan polis. Jadi kita tak boleh nak kata berapa tempoh masa menyelesaikan kes.

“Apabila kita dapat maklumat aduan kes buli ini, kita akan terus membuat siasatan. Sekiranya dapat diselesaikan, kita akan selesaikan segera,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan portal aduan buli dilancarkan bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM.

Portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.

Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), emel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan SISPA KPM yang tersedia di portal aduan tersebut.

#PerakKini #KPM #portaladuanbuli #buli #sekolah #Malaysia

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *