Kanak-kanak 8 tahun perlu RM250,000 rawat kanser tulang

Winnie dipangku ibunya, Sook Kuan ketika ketika lawatan ADUN Menglembu, Steven Chaw Kam Foon (kiri) di rumahnya di Taman Kledang, Menglembu pada Jumaat.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang didiagnos menghidap penyakit kanser tulang atau ‘osteosarkoma’ tahap kritikal memerlukan bantuan orang ramai membiayai kos rawatannya berjumlah RM250,000.

Winnie Wong Wan Yee, kini tidak lagi mampu bersekolah kerana terlalu lemah dan segala pergerakkannya perlu dibantu kedua ibu bapanya.

Ibunya, Lew Sook Kuan, 32, berkata anak keempat daripada lima beradik itu pada mulanya mengadu sakit kaki pada Jun lalu.

“Selepas anak kami mengadu sakit kaki, kami membawanya ke Klinik Kesihatan Menglembu untuk pemeriksaan dan apabila keputusan sinar-X dikeluarkan, pihak klinik mengesan terdapat lebam di bahagian kakinya.

“Pihak klinik kemudiannya mengesyorkan supaya anak kami dibawa berjumpa pakar ortopedik untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sewaktu mendapatkan rawatan di salah sebuah klinik ortopedik di Ipoh mereka mengesyorkan supaya anak kami menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI).

“Seterusnya, anak kami menjalani MRI di Hospital Pakar Komuniti Ipoh (PCSH) dan hasil MRI itu telah mengesan terdapat ketumbuhan pada bahagian bawah lutut kanan,” katanya.

Dia ditemui pada kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Menglembu Steven Chaw Kam Foon di rumahnya di Taman Kledang, Menglembu pada Jumaat.

Sook Kuan berkata, selepas beberapa cadangan, mereka membuat keputusan untuk memilih Subang Jaya Medical Centre (SJMC) untuk meneruskan rawatan bagi pembedahan membuang sel ketumbuhan itu.

“Anak kami sudah menjalani dua sesi kimoterapi dan esok kami akan membawanya ke SJMC untuk menjalankan pemeriksaan bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk pembedahan bergantung kepada tahap kesihatannya,” ujarnya.

Dia berkata, keluarganya tidak mampu membiayai kos rawatan lanjutan empat lagi sesi kimoterapi selepas pembedahan yang berjumlah lebih RM200,000.

“Kos bagi dua sesi kimoterapi dan pembedahan akan ditanggung pihak insurans namun bagi rawatan susulan kami perlu menggunakan wang sendiri kerana insurans yang digunakan sudah melebihi had ditetapkan.

“Kami berharap orang ramai dapat membantu memberi sumbangan supaya anak kami dapat menjalani rawatan dengan segera dan hidup seperti kanak-kanak normal yang lain,” kata suri rumah itu manakala suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Kam Foon berkata, Pusat Khidmat DUN Menglembu akan membantu keluarga ini bagi mengumpulkan dana untuk membiayai kos perubatan yang diperlukan Winnie.

“Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi kami di talian 05-281 0608,” katanya.

#PerakKini #kansertulang #bantuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *