Lebih 38,000 rumah terima tong sampah percuma di Ipoh

Foto: Majlis Bandaraya Ipoh
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sehingga hari ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengedarkan tong sampah percuma kepada 38,036 unit rumah kediaman di sekitar Ipoh melalui Program Pembudayaan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Kalangan Warga Ipoh yang bermula sejak tahun lalu.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata tujuan penganjuran program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kualiti persekitaran yang bersih dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia menjelang tahun 2023.
“Hasrat MBI adalah untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera serta Bandar Terbersih 2023 di Malaysia tidak hanya memadai dengan penyediaan perkhidmatan, infrastruktur dan kemudahan awam kepada masyarakat.
“Sebaliknya masyarakat perlu dididik untuk berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.
“Justeru, melalui program ini, diharap penduduk Ipoh dapat menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya seawal dari rumah seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan serta keindahan persekitaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Penyerahan Tong Sampah Sempena Sambutan Perayaan Hari Deepavali 2022 di Buntong, pagi tadi.
Sejumlah 739 unit tong sampah telah diagihkan kepada penduduk di Teluk Kurin A dan B dan Buntong 1 dan 2 atau lebih di kenali sebagai Kampung Kacang Putih.
Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBI iaitu A Ganesan; S Jayagopi dan G Thilak Raj.
#PerakKini #MBI #tongsampah #Deepavali #Buntong
