BN Tambun ‘underdog’ yang dijangka mampu jadi ‘giant killer’ pada PRU15

rhdr
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Digelar calon ‘underdog’ di Parlimen Tambun bukan alasan Barisan Nasional (BN) untuk gentar bagi menghadapi cabaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusi BN Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata mereka sudah bersiap sedia menghadapi perjuangan dalam kawasan Parlimen Tambun.
Menurutnya, calon-calon BN dijangka mampu menjadi ‘giant killer’ bagi merampas kembali kerusi Parlimen Tambun dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya iaitu DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi.
“Dalam kawasan Parlimen Tambun ini sendiri, kedua-dua kaunselor (Datuk Mazlan Abd Rahman dan Datuk Azizul Kama Abdul Rahman), Jawatankuasa Perwakilan Penduduk telah sebaik mungkin menyantuni masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat sebaik mungkin.
“Jadi, pada kami sebagai sebuah parti politik yang berada di lapangan kita juga mempunyai peluang yang sama untuk menang, cuma gerak kerja dan jentera perlu diperkukuhkan.
“Saya juga selalu sebut bahawa nama sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan sepertimana yang berlaku pada PRU14.
“Rakyat sudah bijak memikirkan mereka diberi ruang untuk menilai bagaimana kerajaan-kerajaan selain daripada BN mentadbir. Jadi, saya berharap mereka akan kembali kepada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Deepavali Parti Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) bersama BN Parlimen Tambun di Klebang pada Selasa.
Sementara itu, Aminuddin turut memberikan komitmen untuk menggalas tanggungjawab jika dipilih sebagai calon bagi kerusi Parlimen berkenaan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini memaklumkan bahawa UMNO Perak mencadangkan nama Aminuddin sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Tambun.
Kerusi Parlimen Tambun kini disandang oleh Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
#PerakKini #PRU15 #BarisanNasional #kerusipanas #ParlimenTambun
