BN Gopeng komited perjuang kepentingan, hak Orang Asli

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Barisan Nasional (BN) Gopeng komited dalam usaha menambah baik segala keperluan di samping menjaga kepentingan dan hak Orang Asli di negeri ini.
Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song berkata masyarakat Orang Asli perlu diberi perhatian supaya mereka tidak ketinggalan dalam sebarang perancangan pembangunan.
Menurutnya, dua perkara besar berkaitan kepentingan masyarakat Orang Asli akan berlaku dalam usaha kerajaan memperkasa golongan tersebut.
“Pertama, Akta Orang Asli 1954. Akta ini akan dipinda kerana tidak pernah dipinda sejak 1974 manakala yang kedua melibatkan Dasar Pembangunan Orang Asli mengganti Dasar Pentadbiran Orang Asli.
“Dua perubahan besar terhadap komuniti Orang Asli ini sangat penting, jadi kerajaan BN sangat mengambil berat terhadap perubahan besar ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Cally Ting turut mempersoalkan apakah peranan dan kedudukan yang telah diambil Ahli Parlimen Gopeng sejak 15 tahun lalu
Katanya, sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen yang telah diberi mandat sepatutnya merangka perubahan sepertimana yang diinginkan dalam pelbagai urusan Orang Asli.
“Antaranya termasuklah urusan tanah, pendidikan, kesihatan, kepimpinan serta ekonomi.
“Justeru, BN akan memastikan anak-anak Orang Asli mendapat pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya telah merangka visi pembangunan lima tahun masyarakat Orang Asli agar setiap perancangan dibuat secara teratur tanpa meminggirkan setiap peringkat.
“Ia akan bermula daripada ahli Parlimen Gopeng, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Teja, pihak swasta serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam Parlimen Gopeng,” katanya.
#PerakKini #BarisanNasional #Gopeng #PRU15
