DAP letak calon di kawasan majoriti Melayu bukan perkara baharu – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Tindakan DAP meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong dan Parlimen Gerik yang majoritinya pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan satu perkara baharu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebelum ini DAP pernah meletakkan calon di Parlimen Gerik bagi menentang bekas Menteri Besar Perak, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh dan Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali yang mewakili UMNO – Barisan Nasional (BN).
“Dia (calon DAP) hantar ke Gerik calon Melayu daripada Parit dan sejarah DAP bertanding di Gerik ini bukan baharu.
“Lama dulu ada calon DAP lawan arwah Datuk Seri Wan Mohammad, Menteri Besar Perak masa itu. Zaman Tan Sri Tajol Rosli pun ada calon DAP lawan beliau di Gerik.
“Tapi macam kita tahu, dia pergi letak calon Melayu kat situ (Parlimen Gerik) hanya untuk ‘say hello’ sahaja.
“Saya yakin orang Gerik mempunyai kebijaksanaan dan mereka tidak akan pilih calon DAP.
“Di Changkat Jong juga akan berlaku perkara sama,” katanya pada sesi temubual eksklusif media bersama Menteri Besar Perak Menjelang PRU15 di Laman Seri Ridzuan, di sini malam tadi.
Jumaat lalu, DAP Perak mengumumkan dua calon Melayu yang akan mewakili parti itu di Parlimen Gerik dan DUN Changkat Jong pada PRU15 ini.
Mereka adalah Badrul Hisham Badarudin bagi kerusi DUN Changkat Jong dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam bagi Parlimen Gerik.
#PerakKini #BarisanNasional #UMNO #DAP #ParlimenGerik #DunChangkatJong #PRU15
