Sidang DUN Perak: 10 lokasi ‘blackspot’ dikenal pasti bagi tahun 2023

Foto: Korporat SUK Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sebanyak 10 lokasi ‘blackspot’ atau kawasan kerap berlaku kemalangan maut membabitkan daerah Manjung, Kinta, Larut Matang dan Selama (LMS), Batang Padang dan Kerian telah dikenal pasti bagi tahun 2023.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata bagi kawasan blackspot itu, kos sebanyak RM3.5 juta dianggarkan bagi tujuan baik pulih atau mengelakkan kemalangan jalan raya yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan.
Menurutnya, kerja-kerja membaiki pulih jalan di lokasi tersebut akan dilaksanakan setelah peruntukan diterima.
“Kita mahu pastikan mana-mana jalan negeri dan Persekutuan, usaha bagi membaik pulih jalan yang rosak atau berisiko mengundang kemalangan, kita akan cuba elak.
“Pada tahun ini terdapat dua lokasi blackspot iaitu di daerah Kinta dan Kerian telah dilaksanakan dengan kos sebanyak RM 700,000.
“Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan ini dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) tersebut bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wong May Ing (DAP- Pantai Remis) pada Sidang DUN Perak ke-15 di sini pada Rabu.
#PerakKini #blackspot #kawasankemalangan #Perak
