Budaya derma sudah jadi darah daging dan sebati dalam perjuangan Pas – Razman

Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pas Perak menegaskan bahawa parti itu sudah lama menghidupkan budaya infaq atau derma yang menjadi tuntutan islam.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata kenyataan UMNO yang menyamakan infaq atau sedekah dengan rasuah menunjukkan kecelaruan yang membahayakan negara.

“Semua aktiviti Pas adalah derma ahli dan rakyat yang prihatin hingga Pas dikenali dengan parti tin Milo.

“Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli Pas.

“Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri namun bagi Pas dan ahlinya, setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bahawa pemberian wang tunai oleh parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai sedekah.

Ahmad Zahid turut menggambarkan Abdul Hadi sebagai seorang “ulama politik” dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.

Sabtu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

#PerakKini #PAS #UMNO #sedekah #rasuah

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *