Peniaga bazar Ramadan digalakkan tawar Menu Rahmah – Datuk Bandar Ipoh

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud ketika merasmikan Kafe Lalaland di Ipoh, hari ini.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggalakkan peniaga bazar Ramadan yang akan beroperasi Mac ini supaya menawarkan Menu Rahmah kepada pelanggan bagi membantu mengurangkan beban terutamanya mereka yang tergolong dalam kategori B40.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata setakat ini sudah ada sesetengah kedai makanan yang menyediakan Menu Rahmah di sini.

“Kita galakkan peniaga perkenalkan Menu Rahmah di bazar Ramadan serta menjual makanan dan minuman dengan harga berpatutan.

“Selain itu, kita akan mengajak seramai mungkin peniaga untuk menyertai Menu Rahmah kerana ia amat membantu dalam mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Kafe Lalaland di sini, pada Isnin.

Sementara itu, berhubung permintaan peniaga untuk menambah tapak bazar Ramadan, Rumaizi berkata setakat ini pihaknya menerima tiga permohonan berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, pada tahun ini MBI membuka 19 lokasi tapak bazar Ramadan dengan anggaran sebanyak 1,296 petak.

“Kita akan kaji permohonan baharu untuk bazar Ramadan yang melibatkan tiga tapak di sekitar bandar raya ini.

“Dijangkakan sebanyak 150 ke 200 tapak akan disediakan di tiga tapak baharu itu,” ujarnya.

#PerakKini #MBI #bazarRamadan #MenuRahmah #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *