Perarakan replika bersenjata timbulkan kegusaran awam – Menteri KDN

Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan orang berpakaian jubah putih dan serban hijau serta seragam hitam. – Foto: Media Sosial
PERARAKAN replika bersenjata dalam suatu himpunan anjuran sebuah parti politik di Setiu, Terengganu pada Jumaat lepas menimbulkan kegusaran awam kepada masyarakat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang memandang serius acara itu berkata perarakan berkenaan menimbulkan kegusaran awam terutama ketika suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) dilihat semakin memuncak.
“Umum mengetahui negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (race, religion, royalty) yang masih belum reda sejak Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.
“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini video serta gambar perarakan menggunakan replika pedang, lembing dan perisai yang dipercayai dianjurkan di sebuah kawasan resort di Setiu, Terengganu pada Jumaat lepas itu menjadi tular di media sosial.
Saifuddin berkata apa jua tindakan yang mempamerkan serta meluahkan semangat dengan diselangi apa-apa simbol berupa senjata atau ‘military’ amatlah tidak wajar dan tentunya akan mengundang keresahan awam.
“Insiden ini kemudian disiar dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan. Ini mengundang pertanyaan adakah perarakan ini bermaksud menyuntik semangat perang,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru hara kepada rakyat dan negara.
“Tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.
“Malaysia sebuah negara demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan dan keputusan, namun ia sama sekali tidak boleh melanggar garis yang menggugat kerukunan negara,” katanya.
Beliau berkata segala pendapat atau pandangan mestilah diuruskan dengan cermat dan disalurkan melalui ruang demokrasi yang ada, bukan melalui tindakan bersifat provokatif.
Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan menyiasat program perarakan membabitkan sebuah parti politik itu bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Menurutnya siasatan awal mendapati perarakan itu merupakan antara acara yang dipertandingkan pada program berkenaan iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam. – BERNAMA
