Kerajaan negeri serah Geran Penerbitan RM230,000, terbit 10 buku ilmiah sentuh isu, cabaran di Perak

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Negeri Perak menerusi Institut Darul Ridzuan (IDR) akan menerbitkan 10 bahan ilmiah berkaitan cabaran dan isu negeri ini yang akan menjadi rujukan oleh pemegang taruh negeri serta pelaksana ke arah merealisasikan pelan Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan itu, Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 berjumlah RM230,000 diserahkan kepada IDR untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, 10 buah buku membabitkan tema Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), Masyarakat Menua, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Migrasi, Kemiskinan dan Kerentanan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Sekuriti Makanan dan Kelestarian Alam, Ekonomi Digital dan Analitis Data Raya.
“Inisiatif tersebut digerakkan oleh IDR dengan kerjasama strategik Pemikir Darul Ridzuan, pemain industri serta pakar-pakar pelbagai bidang dari institusi pengajian tinggi dan buku tersebut dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini,” katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyampaian Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 yang turut dihadiri wakil-wakil institusi pengajian tinggi yang terlibat seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sementara itu, Saarani turut memaklumkan kerajaan negeri ini melancarkan Bulan Wanita Perak sempena Hari Wanita Sedunia yang akan disambut pada 8 Mac setiap tahun.
Katanya, pelbagai program akan dijalankan sepanjang Bulan Wanita Perak yang bermula hari ini sehingga 19 Mac ini iaitu tarikh sambutan rasmi Hari Wanita Peringkat Negeri Perak yang bakal menghimpunkan 2,000 wanita di Laman Seri Ridzuan.
#PerakKini #IDR #HariWanita #KerajaanNegeriPerak #RBZ
