POKOK MANGGIS DI KAMPUNG MANGGIS BERUSIA 100 TAHUN

Oleh Intan Efazila Md Yusop

SLIM RIVER: Di sebalik nama sesebuah kampung di negara ini mempunyai latar belakang atau sejarah tersendiri yang menyebabkan nama kampung itu diberi sehingga ada yang kekal sehingga hari ini.

Berhampiran pekan ini, terdapat sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Manggis yang mula didiami sejak 120 tahun dahulu dan kekal dengan nama itu sehingga hari ini.

Penduduk Izharudin Yusoh, 71, berkata nama kampung ini diberikan sempena dengan tanaman pokok manggis yang terdapat di kawasan perkampungan ini yang ditanam oleh peneroka asal kampung ini.

Katanya, pada zaman dahulu kampung ini mempunyai kira-kira 400 batang pokok manggis dan disebabkan ramai penduduk yang mula membina rumah, kini hanya tinggal kira-kira 200 pokok sahaja.

Beliau berkata, dahulu kampung ini kerap dilanda banjir kilat disebabkan terletak berhampiran dengan Sungai Slim yang memaksa penduduk berpindah ke kampung berhampiran bagi meneruskan kehidupan.

Penduduk Kampung Manggis, Izharudin Yusoh (depan) menunjukkan pokok manggis yang terdapat di sekeliling Kampung Manggis.

 

Izharudin Yusoh (kanan) sedang melihat pekerja memasukkan buah manggis yang dipetik ke dalam guni

” Pokok manggis yang ditanam oleh bapa mertua saya di kawasan ini mempunyai  kira-kira 130 pokok dan setiap tahun membuahkan hasil serta memberi sumber rezeki terutama ketika tiba musim buah manggis.

” Walaupun pokok manggis di kawasan ini rata-rata berusia 100 tahun, namun masih mengeluarkan buah dengan isinya yang rasa masam manis membuatkan buah ini sentiasa mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat buahan tempatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Manggis, dekat sini.

Difahamkan, di tengah kampung ini dahulunya terdapat sebuah sekolah yang dikenali ” High School Slim River” dan pernah dijadikan sebagai markas tentera Jepun ketika menjajah tanahair.

Izharudin berkata penduduk asal kampung ini ramai yang berpindah dan anak-anak mereka pula tinggal di luar menyebabkan kebanyakkan rumah di kawasan ini disewakan kepada orang ramai.

” Kawasan persekitaran kampung ini memang redup kerana dikelilingi pokok manggis yang berdahan rendang dan tinggi seperti memasuki sebuah dusun pokok manggis.

” Sekarang ini, musim buah manggis dan saya terpaksa menggunakan galah pelbagai aras atau mengupah orang untuk memanjat pokok manggis untuk mengambil buah terutama pada pokok yang terlalu tinggi,” katanya.

Katanya, jika buah manggis yang masak tidak diambil pada masanya, pada waktu pagi atau selepas hujan kelihatan banyak buah manggis itu akan gugur sendiri lalu berteraburan di bawah pokok manggis itu.

Beliau berkata, ancaman monyet liar kadangkala menyebabkan ada pokok manggis kurang berbuah, namun disebabkan banyak pokok manggis di kawasan ini menyebabkan masih banyak lagi pokok yang mengeluarkan buah yang lebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *