Warga emas samun guna pistol mainan diberkas

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Perbuatan seorang lelaki warga emas yang menggunakan pistol tiruan bagi tujuan menyamun kedai akhirnya terbongkar apabila ditahan polis pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata warga emas berusia 66 tahun itu ditahan selepas menyamun sebuah kedai telefon di Jalan Onn Jaafar di sini sekitar jam 4 petang.
Menurutnya, beberapa barang kes turut ditemui pada suspek antaranya termasuklah sebuah beg galas, sepucuk pistol mainan dan dua bilah pisau.
“Dengan tertangkapnya suspek terbabit polis berjaya menyelesaikan dua kes samun menggunakan modus operandi yang sama di sekitar Pekan Bharu yang dilaporkan pada 25 Mac dan 5 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan petang Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Yahaya berkata semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik.
“Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 29 April ini bagi siasatan lanjut,” jelasnya.
Beliau berkata ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun dengan bersenjata.
#PerakKini #PDRM #samun #pistolmainan #wargaemas #RBZ
