Remaja OKU hilang ditemukan maut dalam longkang

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Misteri kehilangan seorang remaja lelaki orang kelainan upaya (OKU) sejak 24 April lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam longkang di Persiaran Taman Kerian Permai, di Kerian, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata setakat ini polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut namun siasatan masih diteruskan.
Menurutnya, mayat mangsa berusia 19 tahun itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari ini untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa tidak dapat dikenal pasti (pereputan mayat).
“Beberapa spesimen diterima dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan petang Khamis.

Beliau meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang mengeruhkan keadaan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil memberi kerjasama kepada pihak polis atau menghubungi bilik gerakan IPD Kerian di talian 05-721 2222.
Terdahulu, Mohd Yusri berkata polis menerima laporan berhubung kehilangan remaja lelaki terbabit yang dibuat oleh bapanya yang berusia 41 tahun kira-kira jam 2.06 petang semalam.
Katanya, pada jam 5.45 petang hari yang sama, polis menemukan mayat lelaki dalam longkang di Jalan Persiaran Kerian Permai dan berdasarkan pengecaman, pengadu mengesahkan mayat itu adalah anaknya yang dilaporkan hilang.
“Hasil siasatan awal mendapati pada 24 April lalu, jam 10.30 malam, mangsa dan sepupunya berkunjung ke rumah rakan di Taman Kerian Permai.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, mangsa yang menunggang motosikal berasingan tiba-tiba bertindak membuang kenderaan itu dan berlari seperti ketakutan ke arah Persiaran Kerian Permai sehingga gagal dikesan oleh sepupu dan rakannya.
“Pihak pengadu cuba mencari mangsa namun kelibatnya gagal dikesan sebelum meminta bantuan polis.
“Siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (BSJN IPD) Kerian tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian,” katanya.
#PerakKini #PDRM #OKU #hilang #maut #longkang #RBZ
