AHLI MAJLIS PERLU TURUN PADANG

Oleh Intan Efazila Md Yusop
TANJUNG MALIM: Seramai 12 orang lagi Ahli Majlis ,Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) Fasa Ke-2 bagi tempoh 2020-2021 selesai dilantik sempena Majlis Sumpah di Auditorium Seri Tanjung, MDTM, semalam.
Majlis terbabit dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.
Turut hadir, Orang Besar Jajahan (OBJ) Muallim, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad, Pegawai Daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris dan Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Koo Tai Chew.
Yang Di Pertua (YDP) MDTM, Faizal Nizam Md Nor, berkata perlantikan 12 Ahli Majlis ini telah berjaya melengkapkan kuota seramai 24 orang Ahli Majlis di daerah Muallim ini di bawah pentadbiran MDTM.

Katanya, sejajar dengan perlantikan Ahli Majlis yang masing-masing mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu dan dijangka mampu memberi manafaat kepada pembangunan setempat.

” Sebagai Ahli Majlis , mereka perlu proaktif dan bertindak secara efisyen bersama pihak MDTM untuk memastikan sebarang masalah atau pembangunan yang hendak dibawa kepada masyarakat setempat dapat dilaksanakan secara telus.
” Ahli Majlis perlu sentiasa turun padang dengan mendekati masyarakat setempat terutama jika terdapat permasalahan yang memerlukan tindakan segera dapat diselesaikan dengan berkhemah,” katanya.
Faizal Nizam berkata sebagai Ahli Majlis yang berjiwa rakyat dan mewakili parti politik kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta ikhlas.
Katanya,beliau berharap semua Ahli Majlis yang dilantik ini dapat berkerjasama dan memberi idea-idea baharu untuk pembangunan di daerah ini.
