Panik dicekup Imigresen, PATI nekad terjun laut

Foto JIM Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

HUTAN MELINTANG – Gara-gara panik dicekup anggota penguat kuasa, ada dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sanggup terjun laut sewaktu serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di jeti pelantar Hutan Melintang, semalam.

Pengarah JIM Perak, Hapdzan Husaini berkata selain terjun laut, ada juga PATI yang bertindak bersembunyi di dalam semak sekitar lokasi serbuan.

Menurutnya, operasi bersepadu yang dijalankan bermula jam 1 hingga 4 pagi itu membabitkan 91 JIM Perak, JIM Putrajaya dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Setibanya di lokasi, pasukan serbuan terpaksa memotong pintu pagar premis bagi membolehkan pegawai masuk ke kawasan premis tersebut.

“Setiap pintu bilik diketuk oleh pegawai kanan dan memperkenalkan diri serta menunjukan kad kuasa jabatan untuk memberitahu tujuan kehadiran kepada penghuni yang mendiami bilik-bilik di lokasi serbuan tersebut.

“Kehadiran pasukan operasi di lokasi serbuan menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut dan menyembunyikan diri di dalam semak sekitar lokasi serbuan.

“Bagaimanapun, kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana pasukan operasi berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata seramai 61 orang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 59 ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lelaki, wanita serta kanak-kanak warganegara Myanmar, Thailand dan Indonesia berusia antara 7 hingga 55 tahun.

“Manakala dua lelaki warganegara Myanmar diserahkan kepada APMM bagi tujuan siasatan,” katanya.

Hapdzan berkata mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) iaitu tela tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu telah melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

#PerakKini #JabatanImigresenPerak #pendatangtanpaizin #HutanMelintang

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *