Lelaki maut rempuh tembok kuil akibat serangan jantung

Foto Ihsan PDRM

Oleh Rosdalilah Zahari

TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh tembok kuil di Jalan Kampung Lambak di sini pada Sabtu.

Mangsa, Lok Ming Choy, 55, yang memandu kereta jenis Toyota Camry itu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kampung Lambak menuju ke Pekan Tanjung Malim sebelum terbabit dalam insiden yang berlaku pada jam 8.40 pagi itu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati kereta jenis Toyota Camry yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan kemudian merempuh tembok kuil yang berada di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki itu akibat serangan jantung,” jelasnya.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

#PerakKini #kemalangan #TanjungMalim #muallim #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *