TANAM KELAPA JANA PENDAPATAN MASJID

BAGAN SERAI– Penyerahan benih kelapa jenis Malayan Yellow Dwarf untuk ditanam di kawasan surau dan masjid di Bagan Serai dijangka dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif di samping memberi pendapatan sampingan pada surau dan masjid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria, berkata sebanyak 60 pokok kelapa yang disumbangkan Jabatan Pertanian akan diserahkan kepada masjid dan surau di Bagan Serai yang mempunyai kawasan tanah lapang.

Menurutnya tujuan utama adalah untuk menjadikan sumber pendapatan sampingan untuk masjid dan surau berkenaan.

” Selain mewujudkan suasana kondusif, hasil dari penjualan buah kelapa itu dapat digunakan pihak surau dan masjid untuk perjalanan mereka seperti membayar bil air dan elektrik.

” Benih kelapa yang disumbangkan ini adalah jenis rendah dari baka Malayan Yellow Dwarf yang mempunyai buah yang lebat.

” Dijangka dalam tempoh dua tahun sahaja benih ini mampu mengeluarkan buah dan Insyaallah jika ianya berhasil, kita akan perlebarkan program sebegini,” katanya ditemui media selepas meninjau Surau Haji Hamdan, Parit Haji Taib 3,disini,hari ini.

Dalam pada itu juga Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, turut menyampaikan bantuan kotak makanan kepada 20 penerima terdiri dari golongan asnaf dan fakir miskin.

Selain itu juga Razman turut mengumumkan kelulusan projek pemasangan pintu pagar masuk ke ruang legar dan sumbangan kerusi batu kepada surau ini.

Ditanya mengenai tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan menamatkan gencatan politik semalam , Razman menegaskan ianya satu tindakan tepat dan wajar.

Semalam, UMNO mengumumkan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Isyarat menuntut perjanjian damai itu turut diiringi pendirian bahawa UMNO akan mendukung pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bagi menjamin kestabilan politik dan melancarkan urus tadbir kerajaan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *