AKHBAR BERBAHASA CINA SENGAJA PAPAR JALUR GEMILANG TIDAK LENGKAP?

BAGAN SERAI – Seorang pengamal media menggesa satu siasatan menyeluruh dijalankan terhadap pihak editorial dan grafik akhbar sebuah akhbar berbahasa Cina kerana memaparkan Jalur Gemilang secara tidak lengkap.
Laporan polis juga telah dibuat pengamal media terbabit, Kamal Abas, 52, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, pada malam Selasa.
Menurut Kamal, beliau membuat laporan polis selepas mendapati imej Jalur Gemilang yang dipaparkan di muka depan sebuah akhbar berbahasa Cina telah digambarkan tanpa lambang bulan sabit.
“Bulan sabit dan bintang pada Jalur Gemilang adalah satu elemen penting yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Tetapi gambar Jalur Gemilang yang dipaparkan dalam surat khabar terbabit hanya mempunyai grafik bintang dan ia adalah salah,” katanya.
Menurut Kamal, insiden itu disedarinya sekitar 5.30 petang kelmarin yang dimuat naik dalam hantaran di facebook “Tionghua Berjiwa Malaysia”.
“Kemudian saya mengambil langkah untuk mendapatkan akhbar fizikal tersebut di sebuah kedai di Jalan Besar, Bagan Serai.
“Setelah meneliti ia ternyata benar, Jalur Gemilang yang dipaparkan dalam grafik berkaitan lawatan Presiden China ke negara ini tidak memaparkan lambang bulan sabit,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di Bagan Serai.
Kamal menyifatkan paparan grafik tersebut sebagai satu bentuk penyalahgunaan serta pengubahan lambang rasmi negara yang jelas bercanggah dengan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414].
Menurutnya, tindakan sedemikian boleh mencetuskan kekeliruan masyarakat, kemarahan awam dan menjejaskan kesucian simbol negara.
“Perkara ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah ia boleh ditafsir sebagai bentuk provokasi halus yang tidak seharusnya berlaku dalam penerbitan arus perdana.
“Saya harap pihak polis dan badan perundangan mengambil tindakan tegas dan menjadikan perkara ini sebagai pengajaran kepada semua penerbit media cetak mahupun digital agar lebih bertanggungjawab dalam memaparkan simbol rasmi negara,” katanya.


