KPDN PERAK LAKSANA 11 BAZAR RAMADAN RAHMAH DAN INISIATIF INSAN FOOD BANK

IPOH – Sebanyak 11 lokasi Bazar Ramadan RAHMAH (BBR) akan dilaksanakan pada tahun ini sebagai inisiatif dibawah Program Payung RAHMAH MADANI.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Perak (KPDN), Dato’ Kamalludin Ismail hadir melakukan sesi walkabout BBR bertempat di Bazar Ramadan Taman Cempaka pada petang Selasa.
Antara 11 lokasi BBR adalah di Taman Cempaka (Ipoh) , Taman Perpaduan (Tambun), Taman Chandan Putri (Kuala Kangsar), Bersebelahan OCBC Bank (Teluk Intan), Simpang 4 Hutan Melintang ( Teluk Intan), Pekan Gerik (Gerik), Kamunting (Taiping), Hadapan Pejabat Majlis Daerah Tapah, Bazar Ramadan Slim River , Belakang Stadium MPM (Manjung) dan Dewan Kerian Permai (Parit Buntar).
Menurut Kamalludin, seramai 465 peniaga menyediakan pilihan juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah berupaya mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan.
” Peniaga yang menyediakan Juadah Rahmah dalam program BBR berpeluang mendapatkan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH secara digital.
“Selain itu pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB) memberi tumpuan kepada konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut menambah, program ini dilaksanakan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dengan kerjasama KPDN Perak dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Perak.
Bagi mendapatkan maklumat BBR boleh melayari laman rasmi KPDN Perak serta pertanyaan dan aduan ke Aplikasi WhatsApp ke 019-8488000, Portal http://eaduan@kpdn.gov.my , Call centre 1 800 886 800 serta E-mel di e-aduan@kpdn.gov.my






