175 MAHASISWA PARLIMEN BUKIT GANTANG HADIR SEMPENA PROGRAM MAHASIWA BANGKIT, EJEN PERUBAHAN

BUKIT GANTANG – Seramai 175 mahasiswa yang masih melanjutkan pengajian di universiti awam serta swasta didalam Parlimen Bukit Gantang hadir ke program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Kampung Benggali pada Jumaat malam.
Program ‘Mahasiswa Bangkit, Ejen Perubahan’ yang telah diasaskan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, YB Dato’ Syed Abu Hussin Hafis Syed Abdul Fasal itu berteraskan keusahawanan dan pendigitalan serta menyasarkan pelajar daripada keluarga B40 tanpa mengira latarbelakang institusi.
Beliau turut hadir di majlis berbuka puasa bersama mahasiswa Parlimen Bukit Gantang serta 25 fasilitator dilantik bagi menyelaras mahasiswa di 13 negeri.
Menurut Syed Abu Hussin, majoriti keluarga Parlimen Bukit Gantang bergantung kepada sektor perikanan dan pertanian, manakala selebihnya adalah kakitangan kerajaan.
” Dengan berpendapatan sederhana, ia pastinya memberi tekanan kewangan kepada anak-anak di kawasan itu terutama yang menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
“Setiap kumpulan akan dipantau oleh fasilitator dilantik dari segi kebajikan, peluang menjana pendapatan dan pembangunan kemahiran sehingga tamat pengajian.
“Kita tak boleh bagi bantuan saja. Kalau empat tahun di universiti tapi tak ada kemahiran jana pendapatan, masalah tak selesai. Jadi kita ajar mereka guna AI, buat iklan, berniaga kecil-kecilan dan yang penting usaha dan rajin,” katanya.
Tambah beliau, mahasiswa akan didedahkan kepada penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pengiklanan digital, penghasilan kandungan media sosial serta perniagaan kecil seperti makanan dan produk keperluan kampus.
Beliau turut menambah, mahasiswa berbakat dalam bidang kandungan digital atau ‘influencer’ turut diberi peluang bekerjasama dengan syarikat miliknya bagi memperoleh pendapatan sementara sebelum mendapat pekerjaan tetap.
Inisiatif berkenaan dilihat sebagai pendekatan perkhidmatan menyeluruh, bukan sekadar bantuan sekali beri, sebaliknya membimbing mahasiswa sehingga berjaya menamatkan pengajian dan memasuki alam pekerjaan.







