Harap kemelut di Melaka tak sampai ke Perak – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berharap kemelut politik di Melaka tidak akan berlaku di Perak.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden yang berlaku di Melaka semalam.
“Sebenarnya saya pun tidak pasti apa yang berlaku (di Melaka) dan puncanya berlaku. Semalam baru tengok berita dan YouTube mengatakan ada empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah menarik sokongan daripada kerajaan sedia ada.
“Maka, kalau ikut perkiraan memanglah kerajaan itu telah pun jatuh, seperti mana negeri lain. Terpulang kepada Gabenor Melaka untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Izzuddin Shah, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, Perak masih berada dalam keadaan stabil dan berharap perkara yang berlaku di Melaka tidak akan berulang di negeri ini.
“Di Perak Insha ALLAH stabil, dan kita akan beri perhatian untuk membuat persiapan bagi membentang bajet negeri,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah tumbang kerana hilang sokongan majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan penarikan sokongan mereka terhadap Kerajaan Negeri Melaka.
Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

