Kilang proses mineral bernilai RM40 juta bakal beroperasi 2024 di Kanthan

oznorCO

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sebuah kilang pemprosesan bahan mineral berasaskan kuarza dan silika berkonsepkan ‘Zero Waste Facility’ oleh syarikat dari China, Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd (Jinjing) di Silver Valley Technology Park (SVTP), Kanthan, Chemor, dengan kos pembinaan bernilai RM40 juta dijangka memulakan operasi pada suku ketiga tahun 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembukaan kilang itu susulan termeterainya perjanjian antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan syarikat dari China itu yang turut melabur sebanyak RM100 juta dalam industri mineral di negeri ini pada tahun lalu.

Menurutnya, kilang pemprosesan itu adalah yang pertama di rantau ini dan dibina menggunakan model Built-To-Suit and Lease (BTSL) di atas tapak seluas 4.75 hektar di SVTP.

“Pembukaan kilang ini menandakan permulaan bagi inisiatif pembangunan di SVTP yang memacu pertumbuhan ekonomi Perak.

“Kilang pemprosesan berkonsepkan ‘Zero Waste Facility’ ini akan memproses mineral secara komprehensif merangkumi proses pertengahan dan hiliran.

“Ia dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak satu juta tan pasir silika putih setahun, selain 100,000 tan pasir kuartza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silikon bagi kegunaan industri berkaitan tenaga boleh baharu dengan ia dijangka menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan kepada rakyat di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang Pemprosesan Mineral Secara Built To Suit and Lease oleh PKNPk dengan Usahasama Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd di Persiaran Perindustrian Kanthan 1, Kanthan, Chemor di sini pada Isnin.

Hadir sama, Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zaki Mahyuddin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan wakil syarikat Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, Cui Wen Chuan.

#PerakKini #PKNPk #KerajaanNegeriPerak #China #kilang #proses #mineral #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *