IPOH – Suasana berbeza daripada biasa menyelimuti pertemuan antara pimpinan kerajaan negeri dan warga media hari ini, apabila semua berkumpul bukan untuk sidang akhbar atau majlis rasmi, sebaliknya untuk bertanding memancing secara santai.
Program tersebut turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching bertempat di Aisha DNI Agro Resort pada pagi Sabtu.

Turut mengiringi Pengerusi Persatuan Pengamal Media Media Perak, Sayed Mohd Hesham Syed Idris.
Sandrea berkata didalam ucapannya, pimpinan kerajaan negeri menyambut baik kehadiran semua pihak yang meluangkan masa menjadi peserta pertandingan ini.

"Terima kasih atas komitmen untuk bersama-sama menjayakan program pada hari ini dan biasanya kita berjumpa dalam program rasmi, lawatan dan sidang media tetapi hari ini lain sikit, kita tak kejar kenyataan, kita kejar ikan," ujarnya sambil tersenyum.
Beliau turut berkongsi pengalaman sendiri sempat menyertai aktiviti tersebut dan berjaya mendapat tiga ekor ikan, walaupun bersaiz kecil.

Menyentuh mengenai tugas harian warga media, beliau mengakui rutin kerja setiap pihak tidaklah mudah iaitu sentiasa mengejar masa, maklumat, gambar dan laporan yang tepat serta pantas.
"Kerajaan sebenarnya juga menghadapi satu cabaran dari segi komunikasi yang begitu kritikal pada hari ini. Rakyat lebih biasa menerima maklumat yang ringkas sahaja iaitu satu ayat, satu tajuk, satu gambar boleh tular serta-merta, tetapi kadangkala tidak menggambarkan keadaan sebenar," katanya.

Beliau menekankan perkara seperti berita palsu dan maklumat yang tidak tepat mudah tersebar, membingungkan masyarakat dan memaksa pihak berwajib meluangkan masa menjelaskan keadaan sebenar.
"Jadi itu cabaran kita memastikan maklumat yang betul sampai kepada masyarakat dengan cepat, tepat dan mudah difahami," tambahnya.
Pimpinan kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada warga media yang sentiasa menjadi rakan strategik kepada kerajaan negeri.
Beliau berharap hubungan baik antara kerajaan dan warga media terus dipelihara, kerana kedua-duanya memikul tanggungjawab besar membentuk masa depan masyarakat.
"Walaupun ada kesukaran, tidak mengapa. Kita sama-sama berusaha," katanya mengakhiri ucapannya dengan harapan semua peserta mendapat tangkapan ikan yang lumayan pada hari itu.