Padah sorok gula, minyak masak tanpa lesen

Foto Ihsan KPDN Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

TAIPING – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Taiping merampas 5,414 kilogram (kg) gula dan 343 kg minyak masak dianggarkan berjumlah RM18,618.55 selepas menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Kurau Mutiara, Batu Kurau, di sini, kerana didapati menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata

hasil serbuan pada jam 10 pagi itu mendapati peniaga tersebut sedang menjalankan urusniaga barang kawalan iaitu gula dan minyak masak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati peniaga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia berkaitan urusniaga barang kawalan apabila diminta.

“Sehubungan itu, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping mengambil tindakan menyita sejumlah 5,414 kg gula serta sejumlah 343 kg minyak masak polibeg 1kg, minyak masak sawit tulen dibotolkan 2 kg dan 5 kg di premis terbabit dengan nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM 18,618.55,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata kes ini akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

#PerakKini #KPDNPerak #gula #minyakmasak #BatuKurau #Taiping #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *