IPOH: Nak menang jongkong emas! Jom ke pesta buku Big Bad Wolf di AEON BiG Falim awal bulan depan.
Jongkong emas seberat seberat 10 gram ditawarkan kepada pengunjung menerusi dua kempen khas iaitu 'Spend and Win' serta 'Snap and Win'.

Pengurus Kanan Penajaan, Kerjasama Strategik dan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books, Chloe Lim Sooi Yee, berkata, hadiah menarik itu ditawarkan dengan hanya syarat mudah iaitu mengambil gambar dan muat turun ke akaun rasmi media sosial Big Bad Wolf Books.
Katanya, pengunjung juga berpeluang memenangi jongkong emas dengan berbelanja sekurang-kurangnya RM85 dalam satu resit akan menerima satu penyertaan automatik.

"Orang ramai tidak perlu membuat sebarang pembelian untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah menerusi kempen 'Snap and Win'.
"Mereka hanya perlu mengambil gambar bersama keluarga atau rakan-rakan di lokasi pesta buku, memuat naik gambar itu ke media sosial dan menandakan akaun rasmi Big Bad Wolf Books untuk memperoleh satu penyertaan, " katanya.
Bagi kempen 'Spend and Win' pula jelas Chloe, pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM85 dalam satu resit akan menerima satu penyertaan automatik.

"Sempena hari pembukaan pada 3 Julai, peserta kempen 'Snap and Win' akan menerima lima penyertaan, sekali gus meningkatkan peluang memenangi hadiah utama," katanya.
Menurut Chloe, tawaran hadiah menarik itu diadakan bagi memberi keterujaan kepada pengunjung selain membeli buku.
Katanya, semua pengunjung berhak mendapat peluang untuk menang, sama ada mereka membeli buku atau pun tidak.

Chloe berkata, pesta buku selama 11 hari itu akan berlangsung di AEON BiG Falim dari 3 hingga 13 Julai.
Katanya, satu juta naskhah buku daripada pelbagai kategori dengan potongan harga sehingga 95 peratus tersedia untuk pengunjung.
Antara tarikan lain pesta buku Big Bad Wolf kali ini katanya ialah buku berharga serendah RM2 dan set koleksi lengkap pada harga istimewa termasuk siri Harry Potter.

"Diskaun tambahan lima peratus juga diberikan kepada pelajar dan guru bagi pembelian sekurang-kurangnya tiga buah buku.
" Kita turut menawarkan baucar RM10 kepada 50 pengunjung terawal setiap hari, selain diskaun segera sehingga RM15 mengikut jumlah perbelanjaan," katanya.
Chloe berkata, pihaknya menyasarkan jualan antara 800,000 hingga satu juta naskhah buku sepanjang penganjuran pesta buku di Ipoh tahun ini.

Katanya, Big Bad Wold berharap akan dapat terus kembali ke bandar raya itu setiap tahun dengan lebih banyak judul serta tawaran menarik kepada para pembaca.

