PEMENTASAN TEATER BANGSAWAN DIRAJA ‘BETING BERAS BASAH’ SEJARAH KESULTANAN NEGERI PERAK

IPOH – “Sekongkong Tanah Minangkabau ,

Selilit Pulau Perca ,

Di lengkong ular Saktimuna ,

Perpisahan Beta di Selat Melaka ,

Jika Sah Beta Raja berdaulat ,

Lepaslah sekalian malapetaka”.

 

Selepas seruan Baginda diucapkan bahtera kenaikan itu bergerak maka Orang-orang Besar serta beribu-ribu rakyat Negeri Perak menyambut Baginda menyebut “Daulat Tuanku” tiga kali berturut-turut.

 

Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak hingga ke tempat yang bernama Tanah Abang dan disitulah Raja Muzaffar Shah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.

 

Majlis peluncuran teater bangsawan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN Perak), Hisham Mat Hussin bertempat di Dewan Al- Biruni UniKL pada petang Isnin.

 

Turut mengiringi TYDP Majlis Kebudayaan Negeri Perak, Azmi Ismail, Sutradara Teater Bangsawan Beting Beras Basah, Datin Shahnoor Zahurin, Ketua Pusat Kajian Warisan dan Sejarah Perak UniKL RCMP, Ibrahim Ahmad , pelakon utama Reza Hasbi sebagai Raja Muzaffar Shah dan Osman Baba sebagai Raja Sabtah Mahkota Alam serta para pelakon teater yang turut hadir.

 

Shahnoor berkata, minat untuk mengekalkan ciri-ciri bangsawan harus diberikan komitmen yang berterusan khususnya untuk golongan muda.

 

“Diantaranya objektif pendidikan yang ingin disampaikan ianya dapat mewujudkan minat mengenai bahasa istana, tutur kata, adab serta pantun kepada anak-anak muda sebagai generasi pelapis yang akan mewarisi legasi teater bangsawan diraja ini.

 

” Seramai 35 orang pelakon serta 70 orang tenaga produksi bakal membawa pementasan teater diraja yang berlangsung di JKKN Negeri Perak dan juga di JKKN Negeri Melaka pada bulan September dan Ogos ,” ujar beliau kepada Perak Kini.

 

Reza Hasbi yang juga anak jati Perak turut menambah, “Ini adalah kali pertama saya berlakon teater bangsawan setelah mendapat kepercayaan dari pengarah untuk membawa watak utama.

 

“Sejujurnya bukan mudah menjiwai watak Raja Muzaffar namun saya akan memberikan persembahan yang terbaik untuk pementasan teater bangsawan ini,” ujarnya.

 

Pementasan teater bangsawan ‘Beting Beras Basah’ akan bermula jam 8.30 malam pada 26, 27 dan 28 September 2025 bertempat di Auditorium JKKN Negeri Perak manakala pada 10 dan 11 Oktober 2025 akan berlansung di Auditorium JKKN Negeri Melaka.

 

Harga pas masuk bermula dari RM15 bagi pelajar sekolah, RM20 bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan RM35 bagi kategori dewasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *