SELAMA - Lebih 50 buah rumah di Kampung Batu 6 dan Batu 7, Bukit Bertam di sini, menggesa pihak berkaitan membina sebuah tangki air baharu bagi mengatasi masalah bekalan air yang didakwa berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 6 dan Batu 7 Bukit Bertam, Ramli Ahmad, 64, berkata, masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang kerap berlaku terus membelenggu kehidupan harian penduduk setempat.

Menurutnya, pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan melalui surat, e-mel dan saluran aduan rasmi, namun sehingga kini masalah berkenaan tiada jalan penyelesaian.
"Penduduk sudah terlalu lama berdepan masalah ini. Jumlah penduduk semakin bertambah dan pembangunan infrastruktur di kawasan ini juga semakin pesat, namun kemudahan asas seperti bekalan air masih berada pada tahap yang membimbangkan.
" Kami berharap kerajaan negeri serta agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan menyediakan kemudahan tangki air yang lebih sesuai bagi menampung peningkatan jumlah penduduk dan permintaan bekalan air di kawasan tersebut ," katanya.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih sukar setiap kali musim perayaan mahupun cuti persekolahan, bekalan air sering terputus tekanan air menjadi terlalu rendah sehingga menjejaskan urusan harian penduduk.
"Ada, ketika penduduk langsung tidak dapat bekalan air. Kalau ada pun, air hanya mengalir pada lewat malam dengan tekanan yang rendah lepas tu, kembali perlahan itupun kalau ada air.
"Sekarang, sebulan berapa kerap, lebih seminggu kami berdepan masalah bekalan air dan keadaan ini menimbulkan pelbagai masalah,saya terpaksa keluarkan kos tambahan untuk membeli air mineral dan mendapatkan bekalan air daripada sumber lain untuk kegunaan harian, "katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan supaya turun padang meninjau sendiri keadaan sebenar yang dialami serta mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya, dengan pembinaan tangki air baharu dilihat sebagai jalan penyelesaian jangka panjang yang mampu meningkatkan kapasiti bekalan air dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
"Bekalan air bersih adalah keperluan asas rakyat. Kami berharap suara dan keluhan penduduk di pandang serius supaya masalah yang berlarutan sekian lama ini dapat diselesaikan demi kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.

Seorang pengusaha bengkel motosikal, Mohd Aidil Haiqal Che Ros 26, berkata masalah bekalan air yang berlarutan turut menjejaskan operasi perniagaannya.
Menurutnya, bekalan air amat diperlukan untuk kerja-kerja pembersihan komponen motosikal dan kegunaan harian di bengkel.
"Memang susah bila air tak dak Kadang-kadang nak basuh alat ganti dan peralatan bengkel pun menjadi masalah. Air sangat penting dalam urusan kerja kami setiap hari," katanya.
Katanya , ketika gangguan bekalan berlaku, mereka terpaksa bergantung kepada air yang disimpan di dalam tong dan air hujan yang ditadah bagi meneruskan operasi.

"Kalau ada air dalam tong, itu pun sekadar cukup-cukup saja, Kadang-kadang kami terpaksa menadah air hujan untuk digunakan, itupun kalau hujan, nie dah berapa hari tak hujan. Keadaan ini memang menyukarkan peniaga dan penduduk setempat.
"Kami berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera kerana masalah ini kerap berlaku ini memberi kesan kepada kehidupan serta sumber pendapatan penduduk," katanya
Sementara itu, seorang suri rumah Abidah Mat Daud 45, berkata, masalah tiada bekalan air bersih menyebabkan mereka terpaksa mencatu penggunaan air yang disimpan bagi memastikan keperluan asas dapat diteruskan.

"Memang susah sangat, air yang ada pun tidak cukup untuk kegunaan sekeluarga. Nak mandi, nak masak, membasuh dan nak urus anak-anak menjadi sukar.
"Kami sekeluarga, terpaksa berjimat dan mencatu penggunaan air setiap hari. Kadang-kadang terpaksa membeli air tambahan untuk kegunaan tertentu kerana bekalan yang ada tak cukup," katanya.
Beliau berkata, mereka merayu supaya masalah ini diberi perhatian serius. Sudah terlalu lama berdepan gangguan bekalan air yang tiada jalan penyelesaian sehingga kini.
Sementara itu, Jurucakap Lembaga Air Perak (LAP) berkata, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan dan mencari punca sebenar gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan berlakunya kebocoran pada sistem agihan air.
Menurutnya, faktor geografi kawasan yang berbukit turut menjadi antara cabaran utama dalam memastikan bekalan air sampai kepada pengguna dengan tekanan yang mencukupi.
"Kawasan penempatan penduduk yang terletak di kawasan berbukit menyebabkan tekanan air rendah, sekali gus menyukarkan bekalan air sampai secara konsisten ke beberapa lokasi tertentu.
"Selain itu, peningkatan penggunaan air serta pertambahan penduduk juga memberi kesan kepada kapasiti bekalan sedia ada," katanya.
Beliau berkata, pembinaan tangki air baharu dilihat sebagai salah satu penyelesaian jangka panjang yang berpotensi membantu meningkatkan kapasiti bekalan air dan mengurangkan masalah tekanan air rendah yang sering dihadapi penduduk di kawasan tersebut.
Menurutnya, LAP komited untuk menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin dan pelbagai langkah sedang diambil bagi memastikan gangguan bekalan dapat dipulihkan.
"Pihak LAP kini sedang mengenal pasti punca masalah bekalan air dan sedang berusaha sedaya upaya untuk mengatasinya. Segala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa."katanya.