PN tidak tarik sokongan terhadap kerajaan pusat – Peja

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Perikatan Nasional (PN) akan terus komited bekerjasama dan tidak akan menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan sekiranya berlakunya pertembungan dengan UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal tindakan itu diambil bagi memastikan pengundi Melayu tidak berpecah dalam PRN tersebut.
Menurutnya, PRN Melaka akan dijadikan penanda aras dalam memastikan bahawa penubuhan Kerajaan Negeri Melaka yang baharu akan ditadbir mereka yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukan dalam kalangan mereka yang mementingkan kumpulan atau diri sendiri.
”Kita yakin dengan kebolehan dan akan dapat membariskan calon yang berpontensi dan yakin jika kita benar-benar bekerja dengan penuh ikhlas dan niat kerana ALLAH. Saya yakin ALLAH akan bukakan hati pengundi di Melaka untuk memilih PN,” katanya kepada Perak Kini pada Ahad.
Terdahulu, beliau menghadiri program Senamrobik Perdana dan Fun Ride bersempena Peja Trophy 2021 di Padang Lintau, Kampung Tengku Hussein di sini.
Dalam perkembangan sama, seperti yang dinyatakan Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pihaknya memang mahu bekerjasama dengan semua parti yang mahu membangunkan negara dan melakukan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
”Tidak terlintas pun pada pemikiran (menarik sokongan) kita kerana kerajaan sedang berjalan dengan baik dan gagasan keluarga Malaysia sedang diusahakan dengan meriah,” jelasnya.
Ketika diminta mengulas mengenai sama ada pertembungan dalam PRN itu mungkin akan menjejaskan hubungan pemimpin UMNO di peringkat pusat, beliau berkata tidak timbul perkara itu memandangkan hubungannya dengan beberapa pemimpin daripada parti terbabit di dalam kabinet dilihat sangat baik.
”Kemungkinan ada di kalangan pemimpin yang tidak berapa gemar untuk bekerjasama dengan UMNO, tetapi lihatlah di kalangan rakyat dan juga di kalangan pemimpin boleh bekerjasama dengan baik tetapi mungkin satu atau dua orang yang agak keliru tentang apakah agenda yang sepatutnya beliau bawakan,” ujarnya.
