‘Usain Bolt Malaysia’ catat rekod peribadi baharu 100m
Muhammad Azeem menerima cenderahati daripada Khairul Shahril atas pencapaian cemerlang pada SPM 2021.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pelari pecut Negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi meneruskan rekod kecemerlangannya apabila berjaya mencatatkan rekod peribadi baharu dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak yang diadakan di Stadium Perak, lewat petang tadi.
Beliau yang turut diberi jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’ itu mencatat masa 10.28 saat (s) untuk memenangi acara 100m Lelaki Akhir menewaskan Khairul Hafiz Jantan yang meraih tempat kedua dengan catatan 10.80s diikuti tempat ketiga, Muhammad Raimi Mustafa Kamal (10.87s).
Rekod baharu itu sekali gus memadam rekod lamanya iaitu 10.37s yang dilakukannya pada peringkat saringan Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur (KL) Allcomers di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Mac lalu.
Muhammad Azeem ketika ditemui selepas kejohanan itu berkata beliau agak berpuas hati dengan pencapaian tersebut namun berhasrar untuk melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya berpuas hati dan berasa ini satu pencapaian yang sangat baik walaupun (berlari dalam) cuaca hujan. InsyaALLAH saya boleh buat yang lebih baik pada masa hadapan.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan ini merupakan catatan terbaik buat masa sekarang. Saya berada dalam landasan yang baik untuk beraksi pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada Ogos nanti,” katanya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata pihaknya akan mengadakan majlis khusus untuk meraikan atlet SUKMA 2022 yang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Menurutnya, tiada ganjaran khusus, cuma penghargaan untuk mereka dalam pencapaian SPM kerana ia memberi impak besar dalam industri sukan.
Seramai 25 atlet SUKMA 2022 terdiri daripada sukan olahraga, lawn bowls, kriket, menembak, memanah, gimnastik, gimnastik dan pencak silat menerima keputusan SPM 2021 pada Khamis lalu.
Muhammad Azeem yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat itu adalah salah seorang atlet yang turut cemerlang dengan memperolehi keputusan 6A, 2B dalam peperiksaan tersebut.
Khairul Shahril berkata pencapaian itu secara tidak langsung membuka ruang ibu bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak yang berpotensi dalam bidang sukan supaya dapat menceburi bidang itu dengan lebih serius.
#PerakKini #rekod #lari #100m #Ipoh #Perak