130 kanak-kanak sertai program Khatan Perdana Masjid An-Nur Batu 8

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Setiap kali musim cuti sekolah hujung tahun bermula, maka program berkhatan beramai-ramai dianjurkan di banyak lokasi seluruh negara.
Masjid An-Nur Batu 8 Ulu Kinta dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Hospital Ar-Ridzuan (KPAR) Ipoh turut tidak berkecuali dengan menganjurkan Program Khatan 2022 membabitkan 130 kanak-kanak berusia antara enam hingga 14 tahun pada hari ini.
Majlis ini dimulakan dengan perarakan bunga manggar dan berselawat kemudian disirami air pancutan dari jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun sebagai simbolik sebelum bermulanya program khatan perdana.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelaksana Program, Abdul Hamid Buyong berkata program berkhatan secara beramai-ramai setiap kali musim cuti persekolahan yang turut membantu menjimatkan kos perbelanjaan penjaga.
Menurutnya, usaha penganjuran program seperti ini perlu dilaksanakan pelbagai pihak melalui kerjasama agensi kerajaan mahupun swasta.
“Program pada hari ini mendapat kerjasama daripada KPAR Ipoh dan kami berharap ia akan berterusan pada masa akan datang,” katanya pada Selasa.
Program ini dirasmikan Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman yang turut dihadiri Pengerusi KPAR, Zulkifly Zakaria.
Sementara itu, Mazlan berkata penganjuran program ini adalah bagi melaksanakan tuntutan agama dan kesihatan.
Katanya, melalui program tersebut ia secara tidak langsung menyedarkan generasi muda berhubung kepentingan kebersihan fizikal dalam kehidupan harian.
“Kanak-kanak ini dilihat lebih berani dan yakin apabila bertemu rakan-rakan yang bersama-sama menyertai majlis khatan tersebut,” katanya.
Pada program itu turut diadakan pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Ar-Ridzuan dan gerai jualan.
#PerakKini #khatanperdana #MasjidAnNurBatu8 #UluKinta #Tambun
