3 AHLI BERSATU JADI AHLI MAJLIS TANJUNG MALIM

Oleh Intan Efazila Md Yusop
MUALLIM: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, 54, antara tiga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Tanjung Malim yang dilantik sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) Fasa Pertama bagi sesi 2020-2022, dekat sini, baru-baru ini.
Majlis angkat sumpah , Muhammad Yadzan bersama dua orang lagi ahli BERSATU, iaitu, bekas Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Proton City, Abdul Razak Mat Taib,47, dan Naib Pengerusi Majlis Belia Daerah (MBD) Muallim, Mohd Abdul Hafiz Mohd Yusoff ,33, berlangsung di Bilik Sri Malim, MDTM.
Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim berkata ketiga-tiga ahli BERSATU yang dilantik ini mempunyai kewibawaan dalam kepimpinan masing-masing dan mampu memberi sumbangan kepada MDTM ke arah yang lebih proaktif.
Mohd Amran berkata Muhammad Yadzan memang tidak asing oleh penduduk setempat dan memang dikenali , apatah lagi dalam kalangan peminat skuad bola sepak negeri Perak.
” Manakala , Abdul Razak pula juga merupakan aktivis masyarakat yang aktif dalam aktiviti yang membabitkan kebun bandar, kelestarian taman dan kebersihan alam sekitar.
” Mohd Hafiz juga salah seorang ahli jawatankuasa Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) bahagian dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) daerah dilantik atas bakat kepimpinan serta memberi peluang kepada golongan muda sebagai pembuat keputusan sebagai Ahli Majlis MDTM,” katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, bagi Fasa Kedua, pihak BERSATU bahagian akan memberi peluang kepada golongan wanita terutama dalam kalangan kepimpinan Srikandi dan ARMADA supaya setiap sayap dapat memainkan peranan untuk kepentingan penduduk di daerah ini.
Sementara itu, Muhammad Yadzan berkata beliau berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kepimpinan BERSATU bahagian yang memberi peluang kepada beliau menganggotai Ahli Majlis MDTM.
Katanya, beliau akan sedaya upaya mengembeleng segala ilmu dan pengalaman serta sentiasa bersikap efektif dan proaktif terutama dalam melaksanakan sesuatu yang mampu memberi manafaat kepada masyarakat setempat.

