YB RINA NAFI KELUAR BERSATU
PETALING JAYA– Dakwaan Datuk Seri Rina Harun akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak benar.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau masih merupakan ahli Bersatu dan juga Ketua Srikandi sekaligus menidakkan segala tohmahan tidak berasas yang diuar-uarkan di dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.
“Di sini, saya ingin tegaskan.. bahawa sehingga ini saya merupakan ahli parti PPBM yang sah dan juga Ketua Srikandi parti dan mendukung perlembagaan parti dengan menyokong kepimpinan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya menyeru mana-mana pihak supaya tidak dikaitkan nama saya dengan pelbagai polemik politik selepas ini. Dengan pendirian ini saya dapat membersihkan nama saya dari pelbagai tohmahan,” katanya.
Beliau, kesal terhadap pihak tertentu yang cuba menyebarkan maklumat tidak benar mengenai pendirian dan kedudukannya
Rina juga menekankan bahawa di tengah pandemik Covid-19, tumpuan harus diberikan kepada rakyat dan bukannya polemik politik semata-mata.