30,000 HADIR DI MAJLIS RUMAH TERBUKA PPBM MALAYSIA DAN PN LARUT
SELAMA – Majlis Rumah Terbuka Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Perikatan Nasional (PN) Larut disambut meriah dengan tiga puluh ribu kehadiran orang ramai sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap pimpinan masyarakat.
Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi Perikatan Nasional merangkap Pengerusi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bertempat di Dataran Selama pada malam tadi.
Turut mengiringi beliau Timbalan PPBM, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Dato’ Seri Takiyudin Hassan, Pengerusi Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, serta pemimpin – pemimpin tertinggi parti Perikatan Nasional.
Hamzah Zainuddin berkata, PN Larut telah dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan rumah terbuka bagi peringkat kebangsaan pada tahun ini.
“Kejayaan majlis pada hari ini adalah sokongan dari semua YB Ahli Parlimen (MP) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut sama menyumbang pelbagai juadah makanan dan minuman pada malam ini”.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin kena sudi hadir pada malam ini serta jawatankuasa khususnya Bahagian Larut yang bertungkus lumus menjayakan majlis yang besar ini,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Sempena majlis rumah terbuka tersebut, turut diadakan acara cabutan bertuah yang menawarkan sebanyak 10 biji motorsikal kepada pemenang yang bertuah.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi Raja Pop Negara, Datuk Jamal Abdillah yang telah menghiburkan para tetamu dan masyarakat yang hadir.