88 peratus murid Muslim di Perak sertai sekolah KAFA

Foto: Korporat SUK Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kira-kira 88 peratus murid Muslim di sekolah kebangsaan (SK) iaitu 100,656 daripada 114,377 murid menyertai sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Perak.

Daripada jumlah itu, hanya 13,721 murid Muslim dari SK tidak mengikuti sekolah KAFA di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagi memastikan tiada murid yang tercicir daripada menyertai kelas KAFA, kerajaan negeri telah mengambil beberapa inisiatif antaranya mewujudkan lima kelas KAFA tulen yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan yang terpilih di Perak.

Menurutnya, kelas-kelas tersebut adalah di SK Seri Selama, SK Ulu Slim, SK Ganda Teluk Intan, SK Dato’ Sagor Kampung Gajah dan SK Sungai Ramai Ayer Tawar.

“Kita juga mengiktiraf Sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sijil Rendah Agama Islam (SRAI) sebagai syarat utama permohonan kemasukan ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Negeri.

“Selain itu, kita turut melaksanakan kempen kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat melalui pelbagai medium untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan KAFA kepada anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin Abdullah (Pas-Selinsing) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Saarani berkata kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah KAFA yang disalurkan melalui Peruntukan Khas Menteri Besar dan Peruntukan Pelbagai Projek di Pejabat Daerah.

“Di samping itu, pelbagai agensi lain turut menyalurkan bantuan tersebut seperti Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak, Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” jelasnya.

#PerakKini #SidangDunPerak #KAFA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *