60 orang sertai Kempen Derma Darah Dun Hulu Kinta

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seramai 60 orang tampil untuk menderma darah pada Kempen Derma Darah anjuran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd Rahman yang diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun Hari ini.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu menampung bekalan Tabung Darah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)  yang semakin berkurangan sejak penularan kes Covid-19.
Mazlan berkata, program terbabit akan diadakan mengikut zon dan dilaksanakan secara bersasar memandangkan terdapat kekangan untuk mengumpul orang ramai terutamanya pada waktu pandemik ketika ini.

“Orang ramai yang hadir untuk menderma darah hari ini adalah secara bergilir-gilir dan ia bermula dari jam 9 pagi sehingga 3 petang.

“Justeru, saya mendoakan dan berharap orang ramai terutamanya yang tinggal di Dun Hulu Kinta untuk hadir menderma darah bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM),” ujarnya ketika ditemui Perak Kini pada Ahad.

Mazlan yang juga Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkap Naib Ketua Umno Bahagian Tambun turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program berkenaan.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, program khidmat masyarakat itu adalah satu inisiatif baik dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menderma darah. Katanya, sejak kebelakangan ini, bekalan darah di seluruh negara semakin berkurangan.

“Jadi, mereka yang berada dalam tahap kesihatan baik dan memenuhi syarat-syarat KKM diminta untuk tampil ke hadapan bersama-sama menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Sumbangan bukan setakat wang ringgit semata-mata dan dengan sumbangan ini kita mampu menyelamatkan nyawa di hospital dan klinik di sekitar Ipoh,” katanya.
Menurutnya, selepas ini, program sama akan diadakan di Chemor Mesra dan Changkat Kinding dalam tempoh terdekat.

Pasangan adik beradik Natasya Nashrun, 25 dan Nur Sheerlyza Nashrun, 21, antara yang turut serta menderma darah pada hari ini.

Menurut Natasya, golongan remaja dan belia digalakkan turun padang untuk menyumbang bagi membantu HRPB menambah bekalan di Tabung Darah hospital berkenaan.

“Saya menyeru kepada orang ramai dan anak muda supaya bersama-sama menderma darah agar kita dapat menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Bagi, anggota 69 Komando, Azahar Ani, 51, tujuan dia menderma darah adalah untuk menolong menambah bekalan di Tabung Darah HRPB yang semakin berkurangan akibat pandemik Covid-19.

Seorang lagi anggota 69 Komando, Mohd Ridzuan Lakim, 40, amat menggalakkan orang ramai untuk menderma darah.

“Tujuan saya menderma darah pada hari ini untuk membantu dan menyokong Tabung Darah HRPB selain dapat mengekalkan kesihatan diri sambil menderma kepada yang memerlukan,” jelasnya yang lebih enam kali menderma darah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *