4,400 peluang pekerjaan baharu di Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan berjumlah RM2.34 bilion dan menyediakan 4,400 peluang pekerjaan di Perak.
Lima syarikat yang terbabit dalam pelaburan berimpak tinggi itu terdiri daripada Eco Medi Glove Sdn Bhd, Onetexx Sdn Bhd, PNA Technologies Sdn Bhd, HICOM-Teck See Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Dynacare Sdn Bhd secara kolektif menyumbang kepada jumlah kumulatif pelaburan  bagi memacu pemulihan sosioekonomi di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, bagi mempercepatkan proses pemulihan susulan pandemik Covid-19, kerajaan negeri akan terus fokus dalam usaha menarik pelaburan strategik dan berimpak tinggi untuk menjana ekonomi termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

“NCIA telah menjalin kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan negeri untuk merancang, melaksana dan menyelaras pembangunan di wilayah yang kurang membangun seperti di Kamunting, Kampung Gajah, Tanjung Malim dan Sitiawan.
“Pelaburan ini dapat meningkatkan pertumbuhan dan menyumbang ke arah pemulihan ekonomi di Perak.

“Pada masa sama, kerajaan negeri menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan terutama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pendigitalisasi dan penerimagunaan teknologi baharu selaras dengan Pelan Pembangunan Perak 2040,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak (Mesyuarat JPN) yang diadakan awal hari ini.

Saarani turut menyaksikan Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Perak bersama NCIA membabitkan kelima-lima syarikat itu secara maya pada Isnin.
Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berharap supaya NCIA dapat menarik lebih banyak pelaburan yang berimpak besar ke Perak serta memberi tumpuan kepada pengeluaran produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk getah terutamanya sarung tangan.

“Ini memandangkan Perak mempunyai kelebihan dalam industri-industri ini berbanding negeri lain. Promosi berkaitan pelaburan perlu diperluaskan agar Perak menjadi destinasi tumpuan pelaburan di negara ini,” tambah beliau lagi.

Katanya, melalui ekosistem perniagaan dan infrastruktur yang komprehensif, jumlah tenaga kerja terlatih yang mencukupi, insentif fiskal yang menarik dan NCIA sebagai pemudahcara pelaburan melalui pelbagai program insentif yang di tawarkan, syarikat yang melabur kini lebih yakin dengan keputusan untuk memperluas operasi di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingan Issace John berkata, NCIA telah mengumumkan penambahbaikan kepada program insentif merangkumi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Tax Incentives (NTax@NCER), NCER Talent Enhancement Program (NTEP) dan Dana Usahawan (DU@NCER) dalam usaha menyokong komuniti perniagaan di Perak menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Menurutnya, program DU@NCER, NCIA menyediakan geran pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Perak bagi mengatasi implikasi ekonomi terkesan oleh pandemik Covid-19.

“Sehingga kini, program DU@NCER telah menyokong pembangunan 13 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dengan jumlah pelaburan baharu RM135 juta dan mewujudkan 520 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi memastikan Perak kekal stabil dalam pertumbuhan sosioekonomi, NCIA akan terus komited dalam melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berpaksikan rakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi masyarakat,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *