Ride 9 Bridges @ Sungai Perak promosi produk pelancongan

Oleh Rosdalilah Zahari
BOTA – Kira-kira 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi membabitkan beberapa kelab di sekitar negeri ini memanfaatkan cuti hujung minggu menyertai aktiviti konvoi Ride 9 Bridges @ Sungai Perak (sembilan jambatan) di samping mempromosikan lokasi yang menjadi tarikan pelancong di Perak.
Konvoi motosikal itu melalui sembilan jambatan membabitkan Jambatan Sultan Yusuf, Teluk Intan; Jambatan Kampung Gajah; Jambatan Lambor; Jambatan Sultan Idris Shah, Bota; Jambatan Nordin, Tanjung Belanja; Jambatan Manong; Jambatan Sultan Abdul Jalil, Kuala Kangsar; Jambatan Sultan Iskandar dan Jambatan Sultan Azlan Shah.

Presiden Baddad 12 Moto Group Malaysia, Kamaluddin Shamil Yom Ahmad berkata aktiviti itu bukan sekadar bersiar-siar sahaja tetapi untuk penunggang motosikal yang terbabit belajar cara-cara untuk konvoi secara beramai-ramai selain memperkenalkan jambatan-jambatan yang merentasi Sungai Perak.

Menurutnya, kumpulan penunggang motosikal itu juga akan singgah di kedai-kedai yang berada di sepanjang laluan konvoi bagi menyokong peniaga-peniaga kecil sekali gus mempromosikan produk jualan mereka.
“Sehubungan itu, kita akan cuba mengumpulkan seberapa ramai penunggang motosikal berkuasa besar pada masa akan datang dalam mempromosikan lokasi serta produk pelancongan yang terdapat di Perak.
“Kita juga bercadang untuk menjadikan acara seumpama ini yang terbesar dengan mengumpulkan bikers dari seluruh Malaysia dan berharap mendapat kerjasama kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya kepada Perak Kini berhubung program berkenaan.
Katanya, program ini juga adalah salah satu acara untuk meraikan Hari Keputeraan Sultan Perak yang akan disambut pada November nanti.
Dalam perkembangan sama, Presiden CSI Bikers Motor (Cawangan Sri Iskandar), Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan berkata konvoi ini secara tidak langsung memperkenalkan lokasi menarik yang terdapat di Perak.

“Kita juga melalui kampung tradisional di laluan ini yang boleh dimajukan sebagai produk pelancongan bagi menarik minat orang ramai.
“Justeru, kita berharap supaya kerajaan negeri dapat membantu memperluaskan aktiviti ini untuk dijadikan produk pelancongan,” jelasnya yang memaklumkan program terbabit adalah inisiatif penunggang motosikal berkenaan dalam membantu mempromosikan pelancongan di Perak.
Beliau berkata, konvoi itu turut melatih serta mendidik penunggang motosikal untuk mematuhi peraturan jalan raya supaya menunggang secara berhati-hati mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Pada masa sama, sepanjang konvoi ini berlangsung, kita tetap menjaga segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Wings Motor Gangs Society Perak, Azhar Abdul Samat berkata program ini adalah satu usaha yang baik dalam menggabungkan kelab-kelab motosikal kecil menjadi sesuatu yang besar dan berharap akan menjadi acara tahunan pada masa akan datang.

Tambahan, beliau berkata ini adalah peluang untuk berjumpa sahabat dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sudah lama tidak bersua muka disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tidak dinafikan kebanyakkan peminat motosikal berkuasa tinggi seperti Harley Davidson terdiri daripada golongan yang sudah berusia.
“Bagaimanapun, bagi anak-anak muda yang meminatinya boleh mula menyimpan (wang) bagi mencetuskan inspirasi supaya mereka juga mampu untuk mendapatkan motosikal itu pada masa hadapan,” katanya.

