Isu ‘projek sakit’ perlu diselesaikan segera-MB Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Isu ‘projek sakit’ di Perak perlu diselesaikan segera supaya kontraktor yang menerima tender dapat menyiapkan projek pembinaan berkenaan demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara projek dimaksudkan termasuklah sekolah atau hospital yang sememangnya penting kepada semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, semua kontraktor yang membida untuk melaksanakan projek-projek itu perlu menganggap setiap projek sebagai peluang untuk mereka menunjukkan prestasi pelaksanaan terbaik dari segi kualiti, produktiviti dan profesionalisme serta dapat menyiapkan projek di dalam jangka waktu yang di tetapkan.

“Sebagai contoh, projek besar seperti buat sekolah, kadang-kadang projek sakit (lewat siap) ini, dia (kontraktor) menang tender jadi kita tidak boleh merungut.

“Cuma bila dia (kontraktor) tak perform, ada sesetengah itu (projek) satu atau dua tahun tertangguh.

“Kata nak buat sekolah, ada sebuah sekolah di Kerian, bertahun-tahun lamanya kita berjuang untuk dapatkan sekolah itu. Sudah dapat peruntukan tapi kontraktor tak siapkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-42, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan; Setiausaha Agung PKMM, Datuk Wira Jamaludin Abdul Rahim dan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Dalam perkembangan sama, Saarani berharap supaya kontraktor yang dilantik dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaiknya.

Katanya, jika projek tertangguh, ia boleh menjejaskan reputasi dan nama baik kontraktor yang terbabit.

“Jadi bila jadi begitu (tertangguh), nama kontraktor tak baik dan yang teraniaya ialah para pelajar, yang kita sudah kenal pasti bersekolah di mana.

“Hospital di Parit Buntar, punya lama (siap). Kita suka bila dapat peruntukan dan kontraktor menang tender, cuma kita minta supaya mereka tunjuk prestasi baik,” ujarnya.

Terdahulu, Saarani dalam ucapannya berharap PKMM akan mendapat manfaat termasuk pelaksanaan dan projek-projek infrastruktur baru atau yang disambung semula selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM ke-42, di sini, malam tadi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyempurnakan gimik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM ke-42, di sini, malam tadi

“Meskipun berdepan pelbagai kesukaran susulan pandemik Covid-19, saya amat berterima kasih kepada PKMM termasuk di Perak yang sentiasa setia membantu kerajaan dalam melaksanakan projek-projek infastruktur terutamanya yang melibatkan kemudahan perumahan khusus kepada rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, Jamaludin memaklumkan PKMM akan menubuhkan tabung di setiap negeri bagi membantu ahli-ahlinya termasuk orang awam yang terkesan akibat bencana banjir.

“Berikutan bencana banjir yang melanda, kita menubuhkan tabung di setiap negeri bertujuan untuk membantu ahli-ahli dan masyarakat setempat yang terkesan.

“Sebelum ini, kita pernah laksanakan bantuan seumpamanya dan kita akan terus melakukannya demi kepentingan semua,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *